IPOH: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak akan bertanding di semua negeri di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebaliknya parti itu sedang mengenal pasti negeri-negeri yang akan diletakkan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, hanya kerusi-kerusi berpotensi untuk dimenangi akan dipilih untuk ditandingi pada PRU-15i mengikut negeri-negeri yang dipilih.
“Kita tak bertanding di semua negeri, saya akan maklumkan contohnya di Pahang, di Terengganu sebab kita parti pelbagai bangsa ada kawasan-kawasan yang kita lihat berpotensi untuk menang.
“Saya sudah minta penyelaras Warisan di negeri-negeri untuk kita kenal pasti kerusi seperti di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.
“Kita akan umumkan negeri-negeri yang akan kita tanding sama ada di Parlimen dan DUN, bergantung kepada pimpinan kita di peringkat negeri yang kita minta selaraskan mana keadaan yang ada. Kita akan lihat namun yang penting kita menyediakan pilihan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyerahan Borang Keahlian dan Sembang Santai di Taman Shatin, di sini hari ini.
Mengenai potensi Warisan di Perak, Mohd. Shafie berkata, pimpinan parti itu sedang mengenal pasti kerusi berpotensi untuk ditandinginya.
Katanya, sehingga kini belum ada jumlah kerusi Parlimen mahupun DUN yang dimuktamadkan untuk ditandingi pada pada PRU-15.
“Setiap kerusi Parlimen yang dipilih untuk bertanding, kerusi-kerusi DUN di dalamnya akan turut ditandingi oleh Warisan,” katanya..
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mohd. Shafie menerima lebih 1,000 borang keahlian baharu dari Bahagian Parit, Padang Rengas, Tambun, Ipoh Barat dan Ipoh Timur. – UTUSAN