PUTRAJAYA: Jumlah elaun warden asrama di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dinaikkan sebanyak 25 peratus berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kenaikan itu menjadikan kadar baharu bagi ketua warden asrama adalah RM350 sebulan, manakala warden asrama pula adalah RM300 sebulan.
“Untuk makluman, kali terakhir kadar elaun warden asrama disemak adalah pada tahun 1997,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
Selain itu, Radzi berkata, pihaknya juga turut memutuskan untuk menambah seramai 3,813 orang warden asrama di 1,874 sekolah berasrama KPM seluruh negara berkuat kuasa tarikh sama.
Katanya, tambahan itu membabitkan peningkatan sebanyak 63 peratus warden asrama daripada 6,055 orang kepada 9,868 orang warden sekali gus membolehkan penggiliran jadual bertugas dilaksanakan.
Jelasnya lagi, tambahan jumlah warden dan kenaikan kadar elaun warden itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM19 juta.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) di atas dua penambahbaikan ini,” katanya. – UTUSAN










