Wanita ‘scam’ tuan rumah kenduri sudah dicekup - Utusan Malaysia

Wanita ‘scam’ tuan rumah kenduri sudah dicekup

KAMARUL Zaman Mamat (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek mengenai penipuan pakej katering pada sidang akhbar sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rendah Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru di sini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menawarkan pakej katering bagi majlis perkahwinan serendah RM8 sekepala di media sosial menjadi modus operandi seorang wanita untuk memperdayakan mangsa.

Suspek yang merupakan pengusaha katering dinamakan ‘Kekasih Hati’ itu bukan sahaja menghantar jumlah makanan dalam kuantiti yang kecil dan sudah basi malah ada yang langsung tidak menerima tempahan yang dibuat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima 10 laporan polis membabitkan pengusaha katering yang sama dengan kerugian RM53,380, setakat Isnin lalu.

Beliau berkata, susulan laporan yang diterima, polis menahan suspek berusia 50-an itu di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 5 petang, semalam bagi membantu siasatan kes yang berlaku di Kulai dan Johor Bahru.

“Mangsa hanya menyedari diperdaya apabila makanan yang ditempah tidak dihantar atau kurang daripada sepatutnya selain menerima makanan yang sudah basi. Ia menimbulkan kesulitan selain menjejaskan keharmonian antara pengendali majlis dan jemputan termasuk membabitkan golongan kenamaan apabila makanan tidak dapat disediakan.

“Mengikut laporan yang diterima setakat ini, semua transaksi bayaran dilakukan dalam talian bagi kes berlaku antara Mei hingga awal Jun melibatkan kerugian 53,380,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Rendah Polis Kontinjen Johor sesi 2/2022 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, wanita itu bertindak menukar akaun Facebook bernama Kekasih Hati Katering kepada akaun bernama Emir Mimi setelah helahnya tular di media sosial.

Beliau berkata, ramai yang tertipu dengan modus operandi yang digunakan kerana pakej ditawarkan sangat rendah berbanding kebanyakan pakej sedia ada.

“Kami yakin akan menerima beberapa laporan polis lagi dan menggesa mangsa yang lain untuk tampil membuat laporan dengan segera.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej perkahwinan yang murah dan tidak masuk akal serta fikir dua kali sebelum membuat pembayaran,” katanya.

Katanya, suspek wanita itu ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian di Taman Putri, Kulai baru-baru ini, sepasang pengantin baharu kelu apabila pihak katering membatalkan tempahan makanan pada saat akhir iaitu beberapa jam sebelum jamuan pada hari perkahwinan mereka bermula.

Pada pukul 7 pagi hari kejadian, katering terbabit membuat panggilan telefon memaklumkan tidak sempat menyiapkan makanan kerana mengambil tempahan daripada lima majlis keramaian secara serentak.

Malah, mangsa hanya dibayar semula RM3,000 ekoran kejadian itu berbanding RM16,700 yang dibayar untuk penyediaan makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya