Wanita maut, kemalangan motosikal kuasa tinggi ditunggang suami

Wanita maut, kemalangan motosikal kuasa tinggi ditunggang suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang wanita maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang suaminya terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta di lampu isyarat Kilometer 80.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat Jabatan Pengangkutan Jalan, Bukit Bunga, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, Sharipah Saad,48, dan suaminya, Asmiran Dahari, 50, dipercayai dalam perjalanan menuju ke acara Terengganu Bike Week di Pantai Batu Burok, Terengganu sebelum mereka terlibat nahas tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, siasatan awal mendapati, Asmiran bersama isterinya menaiki motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dari Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Terengganu.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang berada di depan motosikal pasangan suami isteri itu dipercayai membrek di lampu isyarat.

“Insiden itu menyebabkan Asmiran mengelak kereta tersebut sebelum motosikal yang ditunggangnya terbabas ke bahu kiri jalan. Mangsa dipercayai jatuh dari motosikal menyebabkan mukanya tersembam ke atas permukaan jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Zulfikri memberitahu, pasangan suami isteri yang mengalami kecederaan itu kemudian dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Katanya, Sharipah kemudian disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital berkenaan kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN