Utusan Malaysia rangkul tiga anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2021

Utusan Malaysia rangkul tiga anugerah Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2021

Pengarang Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar (tiga dari kiri) dan Pengarang Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hassan (kiri) bersama kakitangan syarikat itu yang  merangkul anugerah dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM2021), malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kakitangan akhbar Utusan Malaysia terbitan Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) merangkul tiga anugerah sempena majlis berprestij bidang kewartawanan,  Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021 (HKM2021), malam tadi.

Dalam anugerah sempena Malam Wartawan Malaysia 2022  di Hotel Shangri-La di sini, Utusan Malaysia mengungguli tiga kategori. 

Kategori Desain Halaman Pertama Terbaik dimenangi pereka kreatif Mohamad Rizal Mohamed Nor sebagai pemenang emas, yang membawa pulang RM10,000, trofi serta sijil. 

Jurugambar Amir Khalid turut mencapai kemenangan emas bagi kategori Kewartawanan Foto Cemerlang, membawa pulang RM10,000, trofi serta sijil.

Bagi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang – Petronas, wartawan Mohamad Athir Ismail diumumkan pemenang gangsa, merangkul wang tunai RM1,500 serta sijil.

Sementara itu, wartawan Kosmo! yang turut bernaung di bawah Media Mulia, Abdul Rashid Abdul Rahman pula memenangi perak bagi Kategori Laporan Berita Cemerlang,menerusi laporan ‘Perkampungan emas’, ‘Mukim Kechau dalam Jajaran Emas’, ‘Tanah emas’ tidak akan dirampas’, ‘Perangkap tauke emas’ dan ‘Malaysia kaya dengan emas’.

Untuk rekod, buat julung kali anugerah kewartawanan berprestij itu memperlihat konsep baharu apabila  pemenangnya diumumkan oleh penerima Hadiah Kajai. 

Ini berbeza berbanding tahun-tahun terdahulu, yang mana pemenang lazimnya diumumkan oleh pengacara majlis.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, dalam soal menentukan pemenang, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada panel hakim bebas.

“Ia terdiri daripada para wartawan veteran yang tidak lagi terikat dengan mana-mana organisasi berita dan juga para ahli akademik dalam bidang kewartawanan di beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Walaupun Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas adalah program yang dikendalikan MPI, tetapi MPI tidak terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memilih pemenang. MPI hanya fasilitator atau pemudah cara penyertaan,” katanya.

Dalam pada itu, Chamil berkata, majlis kali ini memasuki tahun  ke-41, yang mana sepanjang hampir setengah abad meniti usia, tempoh tersebut menyaksikan berlakunya perubahan drastik dalam ekosistem media tanah air.

“Dipacu oleh kelahiran internet dan juga elemen-elemen kecerdasan bikinan, robotik, analisis data raya, internet of thing (IoT), realiti maya era Revolusi Industri 4.0, para wartawan hari ini dituntut supaya bersedia memperkasa diri.

“Ini termasuk mempelbagai kemahiran baharu, bersifat multi-tasking dan pantas dalam menyalurkan berita tetapi kekal terikat dengan etika kewartawanan,” katanya. UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya