Ubat asas berkurang kerana HFMD - Utusan Malaysia

Ubat asas berkurang kerana HFMD

MUHAMAD AKMAL Saleh bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Bukit Katil, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekalan ubat asas di farmasi dan klinik swasta di negeri ini dilaporkan berkurangan hampir 50 peratus dipercayai akibat gelombang wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, antara terjejas adalah sirap Paracetamol dan antibiotik bagi rawatan kanak-kanak. 

Jelasnya, ia dikesan berkurang sejak April lalu menerusi laporan diterima daripada farmasi dan klinik-klinik swasta di negeri ini. 

“Kita ada menerima laporan bekalan ubat asas berkurangan hampir 50 peratus termasuk ubat sirap Paracetamol serta antibiotik. 

“Kita ambil maklum isu ini berlaku di seluruh negara sejak April lalu dan kita percaya ia disebabkan kes HFMD yang naik mendadak baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Katil di sini.

Terdahulu, media melaporkan beberapa ubat dikesan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh yang ditetapkan. 

Kekurangan itu turut diakui Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan pengamal perubatan di klinik swasta.

Tambah Muhamad Akmal, isu bekalan itu bagaimanapun tidak melibatkan hospital kerajaan yang mempunyai bekalan bagi tempoh tiga bulan. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, satu pertemuan akan diadakan melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri bersama-sama Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan syarikat farmasi pada masa terdekat bagi mengenal pasti punca.

“Tadi selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kita dah bincang untuk panggil mereka yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar dan langkah yang boleh dilakukan. 

“Kita nak elakkan isu ini jadi seperti isu ayam, jadi kita mohon Kementerian Kesihatan (KKM) melihat perkara ini dengan lebih fokus dan dalam masa peringatan kepada rakyat supaya tidak membuat pembelian panik,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN