Ubah suai Kelisa jadi Daihatsu disaman - Utusan Malaysia

Ubah suai Kelisa jadi Daihatsu disaman

ANGGOTA JPJ memeriksa kereta Perodua Kelisa yang diubah suai identiti kepada Daihatsu dalam Op Pengarah JPJ Perak di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan seorang lelaki mengubah suai identiti kereta Perodua Kelisa kepada Daihatsu mengundang padah apabila dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam Op Pengarah JPJ Perak di Jalan Sultan Idris Shah dekat sini semalam, pemilik kenderaan berusia lingkungan 30-an itu turut diberi notis arah periksa atas kesalahan tersebut.

Lelaki itu juga diarahkan untuk menukar kembali identiti asal kenderaannya bagi mengelak dikeluarkan notis ingkar arah periksa kenderaan.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, sebuah kereta Perodua Myvi turut disita dalam operasi bermula pukul 8 malam atas kesalahan gagal memperbaharui cukai jalan sejak dua tahun lalu.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 121 buah kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan hasil daripada pemeriksaan 312 buah kenderaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 205 notis dikeluarkan membabitkan P22 iaitu notis arah periksa dengan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 142 notis.

“Selain itu, sebanyak 23 notis PG1 iaitu larangan penggunaan kenderaan dan 40 notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, dalam operasi sama, tiga individu ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, 10 saman turut dikeluarkan oleh polis atas pelbagai kesalahan trafik manakala tiada tangkapan dilakukan oleh Jabatan Imigresen.

“Operasi selama dua jam itu juga menyasarkan pelbagai jenis kenderaan yang meliputi kesalahan-kesalahan peraturan jalan raya di bawah akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.

“Kita melihat kepada kesalahan seperti lesen memandu, lesen kenderaan motor, penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan cermin gelap,” katanya.

Operasi bersepadu itu disertai 87 pegawai dan anggota JPJ termasuk polis, AADK dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.