'Ubah kawasan pembuangan sampah haram jadi lokasi riadah’

‘Ubah kawasan pembuangan sampah haram jadi lokasi riadah’

AZHAR Arshad (depan) ketika meninjau kawasan Upcycle Lane Persiaran Tenggiri di Seberang Jaya, Pulau Pinang selepas perasmian lokasi itu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Mengubah dan menaik taraf kawasan tempat pembuangan sampah haram menjadi lokasi riadah untuk orang ramai.

Itu antara usaha yang dilakukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk mengekang dan membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram selain menguat kuasakan peraturan sedia ada.

Menurut Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad, antara projek untuk mengubah dan menaik taraf kawasan tersebut ialah di Persiaran Tenggiri, Seberang Jaya di sini.

Katanya, MBSP telah menjalankan soal selidik dan perbincangan bersama penduduk setempat sebelum ini dan rata-rata mereka menyokong serta bersetuju untuk diwujudkan projek pengindahan di kawasan berkenaan.

“Penduduk juga mencadangkan penambahan elemen-elemen struktur pengindahan yang berkonsepkan penggunaan sampah sarap yang dikutip dan dikitar semula lalu ditambah baik dengan bahan baharu.

“Justeru, konsep yang diketengahkan dalam projek ini adalah mengikut keperluan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan projek tersebut yang dikenali sebagai Upcycle Lane Persiaran Tenggiri di sini, semalam.

Upcycle Lane merujuk kepada lorong atau jalan yang diperbuat daripada bahan kitar semula yang dipertingkatkan atau diberi nilai tambah.

Azhar menjelaskan, 85 peratus bahan yang digunakan adalah bahan kitar semula manakala selebihnya terdiri daripada campuran bahan baharu seperti simen, konkrit, cat, gentian kaca dan sebagainya.

“Kira-kira 100 peratus hasil kerja, idea dan kreativiti untuk menyiapkan projek ini datangnya daripada kalangan warga MBSP sendiri,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN