PETALING JAYA: Hanya 26 daripada 38 set tren komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) boleh beroperasi mengakibatkannya tidak mencukupi untuk menampung penumpang di seluruh Lembah Klang.
Malah, lebih 10 set tren komuter yang beroperasi ketika ini sudah melepasi tempoh overhaul dan bila-bila masa boleh menghadapi kerosakan sehingga menyebabkan jadual penumpang tergendala.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, kekurangan itu melibatkan laluan antara Batu Caves dan Pelabuhan Klang serta laluan antara Tanjung Malim dan Tampin.
“Tren komuter yang boleh beroperasi adalah 26 set sehari sahaja. Jumlah yang ada ialah 38 set, bakinya adalah set bermasalah.
“Set-set tren komuter itu sudah melepasi tempoh untuk overhaul, maka set-set tren komuter bila-bila masa boleh menghadapi masalah kerosakan. Ketika ini, KTMB berusaha mengatasi segala jangkaan kerosakan dengan memastikan tren berada dalam keadaan baik melalui penyelenggaraan berkala,” katanya ketika dihubungi.
Pada masa sama, beliau turut bimbang apabila Landasan Keretapi Berkembar Elektrik di Lembah Klang (KVDT) Fasa Dua belum dibaik pulih selepas Kementerian Pengangkutan membatalkan kontrak projek itu pada 2020.
“Pembatalan kontrak ini telah menyebabkan projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual, sekiranya projek kembali pun akan mengambil masa lima hingga tujuh tahun untuk disiapkan,” katanya.
Katanya, terdapat banyak implikasi kepada pembatalan projek KVDT 2, antaranya landasan sedia ada dalam keadaan tidak selamat, tren menghadapi kelewatan serta penggunaan single track akan mengurangkan larian tren.
Jelasnya, sekiranya berlaku kerosakan mana-mana set tren di KVDT 2, ia akan mengambil masa untuk mengalihkan tren kerana kedudukan single track sekali gus menyebabkan kelewatan tren.
“Jadual tren boleh berlaku beberapa kali pindaan berdasarkan kedudukan keperluan landasan bebas, jadi sukar melaksanakan kekerapan tren mengikut kehendak pengguna, kerana KTMB perlu melihat kedudukan landasan.
“Keadaan hanya dijangka kembali pulih lima hingga tujuh tahun dari sekarang, sekiranya projek pembaikpulihan bermula sekarang,” katanya.
Justeru, beliau meminta Kementerian Pengangkutan menyegerakan projek pembaikpulihan supaya KTM dapat beroperasi dengan lebih efisyen.
“Semua projek KTMB di bawah kendalian Kementerian Pengangkutan hendaklah dilaksana dengan sesegera mungkin dan memastikan semua proses dilakukan secara tender terbuka dan hendaklah memenuhi kehendak pengguna.
“Diharapkan Kementerian Pengangkutan menyegerakan projek KVDT 2 dan memperuntukkan tambahan set-set tren khususnya komuter yang mempunyai jarak yang jauh dan mampu melaksanakan kekerapan larian tren,” katanya.
Beliau juga berharap pembelian set-set tren yang berkualiti dan bukan secara rundingan terus.
“Pelaksanaan hendaklah melalui tender terbuka agar pemilihan dapat dibuat berdasarkan, kualiti, jangka hayat yang lama, mudah dapat alat ganti, pertukaran teknologi, harga yang munasabah dan sebagainya.
“Saya percaya sekiranya semua ini dilaksanakan, KTMB akan kembali pulih dan mampu memberi kepuasan kepada pengguna, KTMB sentiasa fokus untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna, selaras dengan perkhidmatan sosial,” katanya.
Sementara itu, KTMB ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan. – UTUSAN










