PORT DICKSON: Tourism Malaysia giat mempromosikan pakej-pakej pelancongan negara ini ke India dan negara-negara Asia Barat sebagai usaha meningkatkan semula sektor itu.
Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd. Yusof berkata, ia selaras sasaran dua juta pelancong asing yang dijangka melawat negara tahun ini.
“Kadar penginapan di hotel-hotel telah kembali pada setiap hujung minggu dan produk pelancongan mula wujud. Selain itu, saya juga mula melihat kedatangan pelancong luar untuk bercuti ke negara ini semakin bertambah.
“Dalam setiap pameran pelancongan oleh Tourism Malaysia, ia bukan sahaja menawarkan program pelan pelancongan penerbangan, penginapan seperti hotel namun, termasuk produk pelancongan lain seperti pakej selam skuba dan sebagainya,” katanya selepas program tanggungjawab sosial korporat, pembersihan pantai sempena Hari Lautan Sedunia, di sini hari ini. – UTUSAN










