KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dengan kes penipuan inap desa yang tidak wujud di daerah ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden M. Zambri Mahmud berkata, kedua-duanya yang berusia 27 dan 26 tahun yang merupakan penganggur itu ditahan di sebuah rumah di Dungun, semalam.
Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas sekeping kad pengeluaran wang automatik (ATM), sebuah telefon pintar di samping kad sim dan seunit kad memori SD.
“Pasangan suami isteri itu direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selama empat hari hingga 12 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, polis mengesahkan menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa ditipu pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang di sini yang tidak wujud walaupun telah membuat pembayaran sebanyak RM221.50 secara dalam talian.
Satu hantaran di media sosial Facebook turut tular menunjukkan beberapa keluarga mendakwa tidak menjumpai rumah inap terbabit sepanjang cuti persekolahan ketika ini. – UTUSAN









