Tiga sekawan maut kereta bertembung lori

Tiga sekawan maut kereta bertembung lori

KEADAAN kereta yang bertembung dengan lori tangki muatan minyak sawit dalam kemalangan mengorbankan tiga sekawan di Kilometer 7, Jalan Maharajalela-Teluk Intan, Perak, semalam. -IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Tiga lelaki maut manakala dua rakan mereka parah setelah kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan lori tangki membawa muatan minyak sawit di Kilometer 7 Jalan Maharajalela-Teluk Intan, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu mengorbankan dua lelaki masing-masing berusia 19 tahun dan seorang lagi berusia 26 tahun yang juga penumpang kereta jenis Volkswagen Passat. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun itu dalam perjalanan dari arah Hutan Melintang menuju Teluk Intan.

Katanya, apabila tiba di lokasi, kereta dinaiki lima sekawan itu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. 

“Sampai di tempat kejadian, kereta itu dipercayai masuk ke laluan lori tangki menyebabkan kenderaan berat itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa. 

“Penumpang kereta berusia 19 tahun maut di tempat kejadian manakala dua rakan berusia 19 dan 26 tahun pula meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu dan seorang penumpang berusia 19 tahun parah manakala pemandu lori tangki berusia 48 tahun pula tidak cedera.

“Bedah siasat ke atas mayat ketiga-tiga mangsa dijalankan di Unit Forensik Hospital Teluk Intan. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN