KUALA LUMPUR: Memulihkan Malaysia merupakan antara tiga sebab Barisan Nasional (BN) mesti mengambil alih semula negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kepercayaan kepada institusi awam kini terjejas dan iklim pelaburan terus pudar serta perlahan, manakala segalanya lebih baik dahulu daripada sekarang mestilah dipulihkan sekali gus menjadi misi paling utama BN.
“Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara ini, apabila BN ditewaskan pada 2018. PH has failed to govern and they failed miserably. Dari semua segi, kita telah merosot, menyusut dan berundur ke belakang. Dan bila kita menerajui semula kerajaan waktu ini, tangan kita pula terhad dan terikat.
“Ini kerana, kita tidak mempunyai kuasa yang dominan. Kita terpaksa akur, dengan pelbagai kekangan politik dan persefahaman politik, dengan pelbagai sekutu dan seteru kita. Jika kita mahu bertindak sedikit agresif atau lain dari selera mereka, kita diancam dan diugut,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Selain itu, Mohamad berkata, sebab kedua adalah BN mesti mengambil alih semula pentadbiran negara kerana mahu mengembalikan semula kestabilan politik di Malaysia apabila ketidakstabilan politik dalam tiga tahun telah menjerumuskan Malaysia ke era 20 tahun ke belakang.
“Bayangkan jika semua ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara, yang terus ketinggalan dan tercorot,” tegas beliau.
Sebab ketiga kata Mohamad adalah BN mesti mengambil alih semula Malaysia kerana mahu mencipta masa depan untuk generasi akan datang kerana mentadbir negara bukan setakat menguruskannya tetapi untuk kemandirian hari ini tetapi juga tentang membina asas-asas kelangsungan hari esok.
Tegas beliau, kita semua bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas, tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang.
“Maka kita mesti menyingkirkan, segala noda dan kesalahan generasi sedia ada. Dan menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN











