PETALING JAYA: Beberapa kejadian pokok tumbang di sekitar Selangor susulan hujan lebat dan ribut, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian pertama berlaku berhampiran sebuah hotel di Kota Damansara.
Katanya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.15 pagi melibatkan sebatang pokok menghempap kereta Perodua Myvi.
“Kita juga menerima dua lagi panggilan berkaitan kejadian pokok tumbang hingga menghempap kereta iaitu di Jalan Kenyalang, Kota Damansara dan Jalan Kasturi, Cheras. Bagaimanapun, kesemua kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










