Tiga individu berkaitan perhimpunan ‘Walk for Justice’ dipanggil polis

Tiga individu berkaitan perhimpunan ‘Walk for Justice’ dipanggil polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis memanggil tiga individu untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan Walk for Justice oleh Majlis Peguam minggu lalu.

Mereka yang dipanggil ialah Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn; Ketua Pegawai Eksekutif Sekretriat Majlis Peguam, Rajen Devaraj dan Ahli Majlis Peguam, Roger Chan.

Karen berkata, ketiga-tiga mereka bagaimanapun membuat keputusan tidak memberi keterangan kepada polis apabila hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 2.30 petang semalam.

Beliau mendakwa polis hanya mengeluarkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan notis itu sendiri tidak menyebut undang-undang mana yang disiasat oleh polis.

Seksyen 111 CPC merujuk kepada kuasa polis untuk menghendaki orang ramai hadir soal siasat dengan mengeluarkan notis bertulis kepada mereka.

“Setelah bertemu polis hari ini (semalam), kami dimaklumkan secara lisan bahawa siasatan kononnya dijalankan mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan Peraturan 6 dan Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa peralihan ke Endemik 2022).

“Semasa pertemuan kami dengan polis yang mana kami diwakili peguam, kami meminta polis mendapatkan salinan Laporan Maklumat Pertama (FIR). Polis meminta kami membuat permintaan bertulis dan memberitahu kami bahawa keputusan untuk memberikan kami FIR adalah semata-mata atas budi bicara mereka,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelasnya, disebabkan pihaknya hanya dimaklumkan  mengenai seksyen yang dikatakan dan peraturan yang mana siasatan sedang dijalankan, maka beliau dan dua yang lain memutuskan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada polis.

“Kami juga memaklumkan mereka bahawa kami akan menulis surat meminta FIR, sebelum meninggalkan IPD Dang Wangi.

“Majlis Peguam Malaysia ingin mengulangi pentingnya warganegara menyedari hak undang-undang mereka dan setiap orang berhak mendapat peguam menemani mereka di balai polis,” ujarnya. 

Pada 17 Jun lalu, Ketua Polis Dang Wangi,  Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dilaporkan berkata, penganjur perhimpunan tersebut di Padang Merbok akan dipanggil bagi membantu siasatan. 

Katanya, kira-kira 220 individu yang terdiri daripda ahli Majlis Peguam dipercayai hadir dalam perhimpunan itu dan pihaknya telah mengenal pasti individu yang akan dipanggil.

Perhimpunan itu bagi menuntut empat perkara bagi memastikan badan kehakiman negara dapat bergerak bebas.

Antaranya, kebebasan badan kehakiman ditegakkan selain kerajaan memelihara kepercayaan orang awam terhadap badan tersebut.

Perhimpunan itu bagi mengutuk tindakan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara terbuka terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali selain meminta Parlimen mereformasi undang-undang untuk memastikan dakwaan terhadap hakim yang bertugas dilakukan dengan betul supaya tidak merosakkan keyakinan terhadap badan kehakiman.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya