Tiada pemimpin Bersatu lain akan keluar parti - Utusan Malaysia

Tiada pemimpin Bersatu lain akan keluar parti

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid menafikan akan ada beberapa lagi pemimpin parti berkenaan yang dijangka melompat parti selepas Datuk Zuraida Kamarudin.

Menurut beliau, perkara itu tidak ada dalam pengetahuannya kerana semua kepimpinan yang sedia ada komited dengan aktiviti parti termasuk barisan MPT.

“Setakat ini saya tidak dengar atau nampak ada, kerana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali datang mesyuarat seperti tiada apa-apa yang berlaku, baru-baru ini pun beliau masih datang mesyuarat MPT, semuanya ‘okay’.

“Situasi itu berbeza jika dibandingkan dengan Zuraida kerana beliau memang sudah tiga empat kali tidak datang mesyuarat sebelum dia umum mahu keluar parti, Mohamed Azmin dan juga Datuk Mohd. Rashid Hasnon sebaliknya, mereka datang mesyuarat.

“Oleh yang demikian, saya nafikan desas-desus akan ada beberapa lagi pemimpin Bersatu yang akan mengikut jejak langkah Zuraida, kerana tiada tanda jelas perkara itu berlaku,” katanya selepas melakukan tinjauan ke Program Jualan Keluarga Malaysia di pasaraya besar Lotus Tebrau, di sini hari ini.

Selain Zuraida, beberapa nama lain turut disebut-sebut akan mengambil tindakan sama termasuk Mohamed Azmin dan Mohd. Rashid yang menyertai Bersatu serentak selepas mereka meninggalkan PKR sebelum ini.

Namun Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, tindakan Ahli Parlimen Ampang itu tidak menjejaskan parti kerana jawatan Zuraida sebagai Ahli MPT adalah lantikan dan bukan disebabkan menang bertanding.

“Jadi saya harap tiada lagi kedengaran isu ini kerana fokus setiap parti politik termasuk Bersatu sepatutnya adalah usaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan membaiki kos sara hidup, itu perkara yang perlu diberikan tumpuan sehinggalah tibanya masa untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” jelasnya.

Semalam, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dilaporkan berkata, langkah yang diambil Zuraida untuk keluar parti berkenaan telah diketahui lebih awal sebelum pengumuman tersebut dimaklumkan kepada pihak media.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Bersatu untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.