PETALING JAYA: Harga rumah dijangka terus meningkat sehingga 2025 dengan kenaikan sehingga 10 peratus setiap tahun sekali gus menyaksikan tiada lagi rumah kos rendah berharga RM200,000 ke bawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, peningkatan tersebut diramal terus berlaku jika tiada kawalan, tindakan mahupun polisi daripada pihak kerajaan bagi mengekang kenaikan kos binaan.
Katanya, ini kerana peningkatan harga rumah terus berlaku mengikut rentak pemulihan ekonomi di samping pertambahan peluang pekerjaan yang mendorong kepada permintaan sekali gus menyaksikan berlakunya kenaikan itu.
“Rumah di Malaysia secara umumnya masih lagi belum cukup. Rakyat ada 32 juta dan kalau kita bahagikan kepada empat orang isi rumah, kita perlukan lapan juta rumah. Tetapi sekarang cuma ada 6.5 juta rumah.
“Harga akan meningkat jika adanya permintaan dan jika diikutkan pengalaman lepas harga rumah meningkat sekitar lapan hingga 10 peratus setiap tahun.
“Tetapi jika di tempat-tempat tertentu itu berlaku penawaran melebihi permintaan, maka mungkin tidak berlaku peningkatan harga yang ketara.
“Jika tak ada kawalan dan polisi daripada kerajaan, tak akan ada lagi rumah di bawah pasaran RM200,000 pada 2025 kerana peningkatan setiap tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Media sebelum ini melaporkan, harga semua bahan binaan mencatatkan peningkatan berbanding setahun lalu dan akan kekal tinggi dalam jangka sederhana berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan permintaan yang tidak selari dengan pengeluaran.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, kenaikan harga rumah sebenarnya boleh dielakkan meskipun ia berpunca daripada harga bahan binaan dan kos buruh.
Ini kerana kategori rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 itu perlu mempunyai elemen tertentu bagi mengurangkan impak kos yang dilihat menjadi punca itu.
“Maknanya mereka yang membeli rumah untuk mendapat perlindungan atau first time buyer mesti ada elemen subsidi atau bantuan kerajaan kerana ini tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan mana-mana kerajaan.
“Selain itu, input compliance cost dalam pembinaan rumah oleh kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan yang merangkumi pelbagai premium charge perlu dikurangkan ke tahap minimum bagi memastikan tekanan kepada harga itu tidak berlaku.
“Kenaikan harga bahan binaan juga boleh dielakkan jika agensi kerajaan membekalkan bahan itu dari sumber dalam negara berbanding bergantung kepada pembekal luar negara yang tentu mendatangkan kesan kos yang tidak boleh dikawal,” katanya.
Tambah Ishak, kerajaan juga perlu patikan hanya satu agensi dipertanggungjawabkan dalam membekalkan rumah dalam negara bagi mengelakkan berlakunya persaingan pemain industri yang dapat meningkatkan kos.
“Seterusnya, pangkalan data sepusat sangat diperlukan bagi mengetahui dengan lebih jelas lagi mana-mana pihak yang masih tiada rumah atau sudah memiliki dua atau tiga rumah,” katanya.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, satu pelan komprehensif dan bukannya pelan jangka pendek harus dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka masa panjang.
Katanya, ini kerana kenaikan harga yang didakwa menjadi punca kepada peningkatan harga rumah memberi kesan kepada keseluruhan rakyat bukan sahaja golongan B40 dan M40 malah golongan T20 yang melakukan pengubah suaian, pembesaran dan baik pulih rumah.
“Jadi memiliki kediaman adalah agak penting terutamanya untuk golongan B40, kerajaan harus memastikan, kenaikan yang menjadi punca itu tidak memberi kesan kepada pembeli.
“Sekarang ini pun rumah hanya mampu tengok, kalau naik lagi akan jadi rumah mampu jeling saja. Pemaju juga tidak akan berani melakukan pelaburan atau pembinaan rumah baharu yang pasti akan terjejas dengan kos yang melambung.
“Jadi, gunakan segala instrumen yang ada termasuk, instrumen kewangan Islam seperti wakaf dan zakat sebagai bentuk bantuan atau subsidi kepada golongan B40 serta M40 untuk mengurangkan harga,” jelasnya. –UTUSAN










