GEORGETOWN: Proses penghantaran buku-buku teks Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) untuk murid-murid di sekolah rendah agama di Pulau Pinang berjalan mengikut jadual serta perancangan dan tidak berlaku kelewatan penyerahan buku teks kepada pelajar seperti didakwa di media sosial.
Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), pada masa ini buku-buku teks KAFA tersebut dalam proses penghantaran ke sekolah-sekolah.
”Proses penghantaran buku-buku tersebut dijangka selesai sebelum akhir bulan ini. Sistem ini memang berjalan seperti yang dilaksanakan sebelum ini, namun disebabkan tahun ini sesi persekolahan bermula lewat iaitu mulai hujung Mac menyebabkan ibu bapa merasakan sudah hampir setengah tahun sesi sekolah bermula dan buku masih belum disediakan.
”Sedangkan ia memang mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook JHEAIPP di sini hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai rungutan ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah rendah agama di Pulau Pinang masih belum menerima buku teks KAFA.
Menurut kenyataan itu, bermula Julai ini semua murid akan mula menggunakan buku teks KAFA bagi sesi pembelajaran seterusnya.
”Sesi persekolahan KAFA Pulau Pinang bermula 27 Mac 2022 dan untuk tiga bulan pertama persekolahan (27 Mac hingga 27 Jun) setiap pelajar dibekalkan dengan buku modul SALAM. Buku modul SALAM ini merupakan kandungan pelajaran asas kepada setiap murid mengikut tahun persekolahan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, setiap pelajar akan menggunakan buku modul SALAM yang dibekalkan tersebut sebagai bahan pembelajaran sehingga akhir Jun. – UTUSAN










