KULAI: Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada agenda tersendiri yang hanya menguntungkan parti berkenaan dalam soal kerjasama dengan parti lain sehingga meminggirkan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden Bersatu itu berkata, beliau bersetuju selagi mana kerjasama yang dijalin selari dengan prinsip perjuangan PN dan menolak sekiranya ia bertentangan dengan dasar-dasar gabungan berkenaan.
Katanya, setiap langkah yang diambil memang terdapat agenda, namun ia semata-mata bukan untuk faedah Bersatu sahaja.
“Tiada agenda tersendiri, niat kita sebagai satu gabungan adalah ambil langkah serta usaha untuk capai kejayaan, tapi ia libat pelbagai cara, strategi dan pendekatan. Saya rasa tak salah (bincang), jangan kita awal-awal asingkan (mahu) yang wangi sahaja.
“Kita tak tahu kadang-kadang kita hanya buruk sangka, ada cara-cara sebab tiada salah untuk meneroka sama ada boleh dicapai atau tidak itu masih awal untuk dikatakan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Jalinan Mesra PN Johor, di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan mereka tahu tentang agenda Muhyiddin yang juga Pengerusi PN untuk bekerjasama di bawah khemah besar dengan parti-parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Abdul Hadi berkata, pendekatan itu bagaimanapun ditolak oleh Pas dalam pertemuan yang diadakan dengan pemimpin berkenaan, sebelum ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, satu mesyuarat Majlis Pimpinan PN Pusat akan diadakan malam ini dan beliau berharap Pas termasuk Abdul Hadi hadir bersama-sama untuk mengadakan perbincangan berkaitan.
Dalam soal penolakan Pas serta Bersatu Parit Sulong yang tidak mahu bekerjasama dengan DAP, beliau memaklumkan tahu pendirian pimpinan dalam Bersatu, Pas dan Gerakan namun menegaskan tiada salah untuk bertemu dengan pihak lawan.
“Tak apa susah saya nak jelaskan di sini, kalau anda dalam parti saya senang nak jelaskan. Saya tahu parti saya punya pendirian, Pas punya pendirian dan pendirian Gerakan. Tapi apa salahnya cakap dengan musuh kita, salah tak kalau musuh nak bercakap?
“Mungkin dia kata tidak setuju tak apa lah, terkeluar satu tapi yang lain pula kata boleh. Ada caranya, ini adalah strategi politik yang tak boleh didedahkan sehingga keadaan sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengesahkan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Johor menggantikan beliau berkuat kuasa pada Rabu lalu.
“Saya rasa wajarlah begitu sebab saya pun Presiden parti dan negeri sudah ada tokoh, saya harap semua akan sokong. Saya akan bagi bantuan dari segi pandangan serta nasihat, jadi elok beri kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda untuk pimpin dan tunjukkan kita iktiraf proses peremajaan parti,” katanya. – UTUSAN