KOTA BHARU: Kalau sudah rezeki, memang tidak ke mana.
Seorang pembantu kedai batik dari Taman Bakti, Pengkalan Chepa di sini, Muhammad Iqbal Rosli, 23, sudah mendapat tawaran menunaikan haji sejak berusia 14 tahun tetapi terpaksa menolaknya kerana masih bersekolah.
Namun, selepas tamat persekolahan tingkatan lima, dia terpaksa membuat lima kali rayuan untuk menunaikan ibadah itu sebelum akhirnya diterima dan dijadual berlepas ke Arab Saudi pada 26 Jun ini.
Katanya, dia mula mempunyai akaun dengan Lembaga Tabung Haji ketika berusia lapan tahun dan ibu bapanya, Roshanizah Husin, 61, serta Rosli Hassan 63, turut mendaftarkannya untuk menunaikan Rukun Islam Kelima itu.
“Saya bersyukur sangat kerana ibu bapa mengambil cakna tentang perkara ini sekali gus membantu urusan ke tanah suci ketika usia muda.
“Ketika masih kecil ibu bapa menyimpan wang ke dalam akaun itu sedikit demi sedikit dan apabila dewasa serta bekerja, saya turut berbuat demikian sehingga sekarang sebagai persiapan untuk tunai haji,” katanya.
Pemuda itu ditemui selepas mengikuti Program Lambaian Kaabah – Tetamu Dhuyufurrahman Parlimen Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa di sini, kelmarin.
Muhammad Iqbal anak keempat daripada tujuh beradik mengakui berasa berdebar, terharu dan gembira apabila ‘dipanggil’ menunaikan ibadah haji.
“Semoga Allah permudah urusan saya ke tanah suci yang menjadi keinginan ketika usia masih muda untuk ke sana.
“Walaupun pergi tanpa keluarga, saya juga berharap mendapat haji yang mabrur,” katanya.
Tambahnya, ibu dan bapanya yang sudah pun mengerjakan haji pada 2008 turut membuat perkara sama kepada adik beradiknya yang lain dengan menyimpan wang ke dalam akaun Tabung Haji sejak kecil serta mendaftar awal untuk menunaikan ibadah itu. – UTUSAN