Tentera tangkap 47 PATI sembunyi di kebun getah - Utusan Malaysia

Tentera tangkap 47 PATI sembunyi di kebun getah

SEKUMPULAN 47 PATI warga Myanmar yang cuba menyusup masuk ke negara ini bersembunyi dalam ladang getah sebelum ditahan anggota tentera di Kubang Pasu, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Taktik menyorok dalam kebun  getah sekumpulan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyusup ke negara ini tidak menjadi apabila mereka diberkas anggota tentera yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand. 

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata, kesemua PATI Myanmar itu ditahan  pukul 5.45 pagi, semalam di ladang getah yang terletak dalam sektor Op Benteng, kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia. 

“Pasukan serang dan tangkap (Serkap) yang ditempatkan di kawasan pagar sempadan Malaysia dan Thailand mengesan kelibat sekumpulan individu bersembunyi berhampiran laluan jalan tidak berturap dalam kebun getah. 

“Anggota bertugas kemudian bertindak menjejaki kesemua individu berkenaan dan menahan 47 PATI yang berada di situ,” kata kenyataan hari ini. 

Pemeriksaan mendapati PATI berumur 15 hingga 49 tahun dan  terdiri daripada 40 lelaki dan tujuh perempuan masuk melalui pagar sempadan yang dirosakkan. 

“Sebanyak 34 telefon bimbit serta wang tunai dalam mata wang Thailand, Myanmar dan China dirampas daripada mereka. Anggaran nilai keseluruhan rampasan melebihi RM27,600,” kata kenyataan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN