Tanam padi di tanah paya terbiar untuk sekuriti makanan negara

Tanam padi di tanah paya terbiar untuk sekuriti makanan negara

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan perlu menggerakkan kempen menanam padi di kawasan tanah paya terbiar di seluruh negara bagi menjamin dan meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara atau sekuriti makanan.

Usaha itu perlu digerakkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) agar kedaulatan makanan dalam negara terutama membabitkan barangan keperluan asas untuk rakyat dijamin tidak terputus.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, sekuriti makanan adalah perkara yang terpenting, supaya rakyat ada makanan untuk dimakan.

“Trend negara-negara pengeluar menghentikan eksport sememangnya telah pun bermula. Ada duit tetapi negara-negara pengeluar tak eksport merupakan satu masalah. Harga komoditi makanan pun melambung tinggi.

“Jadi kementerian (MAFI) mesti mencari jalan bagaimana untuk memulakan kempen ini (tanam padi di paya terbiar), juga untuk tanam sayur dan ternakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, difahamkan usaha menanam padi di paya terbiar telah dilaksanakan di Maran dekat sini.

“Kita mulakan sekali setahun, kemudian kita boleh baiki infra yang ada secara perlahan-lahan sehingga sampai ke peringkat yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengutamakan agenda sekuriti makanan dalam memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN