KUALA LUMPUR: Walaupun ditawarkan tambang percuma, warga kota dilihat tidak teruja untuk menaiki sistem pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di sekitar Lembah Klang.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) mendapati, kesesakan hanya berlaku pada awal pagi semasa orang ramai ke tempat kerja dan keadaan kembali pulih selepas pukul 10.30 pagi.
Keadaan sama turut berlaku bagi perkhidmatan bas RapidKL di sekitar Bangsar dan Monorel di Kuala Lumpur Sentral ke Titiwangsa menyaksikan orang ramai menggunakan pengangkutan itu seperti biasa tanpa perlu bersesak di stesen masing-masing.
Pengguna bas RapidKL, Ridzwan Bunsing, 28, berkata, tawaran tambang percuma oleh kerajaan adalah inisiatif yang baik bagi menjimatkan kos.
“Kita semua harus mengambil peluang yang diberikan. Dengan tambang percuma ini, saya berharap kerajaan lebih menumpukan pembangunan dan kelancaran sistem pengangkutan awam setanding negara maju lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambang percuma kepada warga kota untuk perkhidmatan LRT, MRT, Transit Aliran Bas (BRT), Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) Lembang Klang, Monorel dan bas RapidKL selama sebulan.
Pekerja swasta, Arishah Ainol Shahrir, 25, berkata, dia berharap kekerapan tren kepada dua hingga tiga minit seperti dahulu dikembalikan kerana dia menyifatkan masa menunggu selama lima minit sebagai membuang masa dan boleh mengundang kemarahan orang ramai.
“Satu minit pun sangat penting untuk mengelakkan kesesakan, jadi, sebaiknya kerajaan memperbaiki semula jumlah kekerapa tren bagi mengurangkan kesesakan. Apapun, saya bersyukur kerana kerajaan tampil dengan banyak inisiatif bagi mengurangkan kos pengangkutan,” katanya yang menggunakan LRT setiap hari bekerja.
Pegawai farmasi, Loh Chuan Teck, 33, bagaimanapun berkata, tawaran percuma kerajaan tidak dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam jangka panjang malah mungkin menyebabkan kesesakan terutama waktu puncak kerana kekerapan dan kapasiti yang tidak mampu menampung jumlah penumpang.
“Saya berharap kerajaan memantau dan menguatkuasakan pengangkutan perantaraan minimum bagi kawasan bandar (di Lembah Klang),” katanya sambil menambah kosnya lebih tinggi jika tiada tawaran tambang percuma diberikan.
Sementara itu, pekerja syarikat insurans, G. Tanusha, 28, berkata, meskipun gembira dengan tambang percuma, dia bagaimanapun bimbang jika kerajaan tidak mampu menanggung kos dan memberikan kesan besar pada masa hadapan. –UTUSAN










