Tajuddin patut dedah semua nama tandatangan SD 

Tajuddin patut dedah semua nama tandatangan SD 

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman perlu mendedahkan semua nama Ketua Bahagian UMNO yang didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Tajuddin sebaliknya hanya memetik beberapa nama yang diketahui tidak sependapat dengan dirinya.

Katanya, Tajuddin hanya berbuat demikian kerana kecewa selepas dipecat daripada menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya tak mahu ulas panjang semua benda yang dia (Tajuddin) ratib, cuma saya tertarik pada satu perkara sahaja, iaitu berhubung SD untuk menyokong Anwar jadi Perdana Menteri. Dia dakwa ramai ahli Parlimen UMNO sign SD berkenaan termasuk dia dan juga sahabat baik senegerinya, Ahli Parlimen Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz).

“Bila dia cakap ada ahli Parlimen yang tandatangan SD dan ada yang tidak mahu, timbul satu persoalan, iaitu siapa lagi yang sokong Anwar jadi Perdana Menteri dan siapa yang tidak bermakna mereka menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan bagaimanapun mengaku tidak terkejut dengan pendedahan dibuat Tajuddin kerana telah mengenali perangai pemimpin veteran UMNO berkenaan.

“Tapi sebenarnya saya tak hairan pun sebab memang sudah perangai dia macam gitu sejak dulu. Dalam kes SD ini, tak kisah pun siapa yang tandatangan atau tidak, kerana yang untung tetap dia dan geng dia sahaja.

“Dia tuduh Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hassan), Bossku (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pemimpin UMNO lain macam-macam tapi yang dapat jadi menteri dan yang dapat jawatan dalam GLC pun dia dan geng dia. Orang lain tetap macam itu sahaja, malah terpaksa kerja kuat untuk mantapkan dan stabilkan parti,” ujarnya.

Tambah beliau, keputusan untuk bersuara bukan demi jawatan atau pangkat, sebaliknya dibuat kerana memikirkan kepentingan parti dan ahli akar umbi. 

“Bila sudah dapat jawatan tu kalau tak bantu parti pun tak apa tapi janganlah jadi langau yang duduk merosakkan UMNO. Macam contoh yang berlaku selepas kemalangan LRT sebelum ini. Dia sebagai Pengerusi Prasarana tidak pandai selesai masalah dan buat kenyataan bukan-bukan sampai rakyat marah serta desak dia dipecat.

“Akhirnya dia pun kena pecat oleh Kementerian Kewangan pada hari Ahad, di mana orang terpaksa kerja hari minggu kerana dia sorang. Walaupun isu dianggap selesai tapi UMNO pun terpalit sama sebab dia wakil parti. Sebab itulah saya bersuara dan sampaikan pendapat supaya UMNO tidak terus menerus jadi mangsa dek perangai dan peel dia dan geng dia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya