Tajuddin boleh fokus sebagai duta besar

Tajuddin boleh fokus sebagai duta besar

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membolehkan pemimpin itu memberikan sepenuh tumpuan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu disifatkan adil buat Tajuddin kerana beliau menggalas tanggungjawab besar pada negara.

“Indonesia negara yang sangat penting kerana jiran terdekat kita dan hubungan perlu diakrabkan, jadi kita tidak mahu beliau diganggu dengan tugas sebagai ahli MKT.

“Tugasan sebagai ahli MKT apabila hampir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menuntut sepenuh masa, jadi tentunya menyukarkan beliau sebagai duta besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Penamatan pelantikan Tajuddin dilaporkan dalam surat bertarikh 21 Jun lalu, bagaimanapun, tidak dinyatakan mengenai punca pemecatannya.

Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmatnya dalam MKT selama ini sekali gus mendoakan Ahli Parlimen Pasir Salak itu terus cemerlang dalam perkhidmatannya sebagai duta besar.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO sudah melengkapkan segala dokumen tambahan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung pindaan perlembagaan parti.

Katanya, ketika ini UMNO masih menanti jawapan dan keputusan jabatan itu.

“Jika kita melihat MCA, lebih kurang pindaan sama dan sudah diluluskan, maka tidak terlalu sukar untuk membuat keputusan kepada UMNO.

“Jadi kita berharap ROS beri pertimbangan positif kepada permohonan UMNO kerana segala syarat sudah dipenuhi dan dokumen sudah diberikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya