Syarikat penerbangan digesa tingkat promosi pelancongan ke Pangkor

Syarikat penerbangan digesa tingkat promosi pelancongan ke Pangkor

SAARANI Mohamad (kiri) dan Fadillah Yusof pada sidang akhbar sempena lawatan kerja dan tinjauan kerosakan jalan di Jalan Persekutuan FT004, Lebuhraya Timur Barat Gerik – Jeli dekat Gerik hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan penerbangan membawa pelancong dari Subang ke Pulau Pangkor, SKS Airways Sdn. Bhd. (SKS Airways) digesa mempergiatkan promosi untuk membawa pelancong ke pulau tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini bagi mengatasi masalah kekurangan pelancong yang datang ke pulau itu melalui udara menyebabkan operasi penerbangan syarikat itu ke Pangkor ditangguhkan.

Saarani berkata, perkhidmatan penerbangan SKS Airways bergantung kepada permintaan pelancong dari Subang untuk terbang ke Pangkor. 

“Kita tak boleh paksa orang naik kapal terbang, SKS Airways patut mempergiatkan lagi promosi perkhidmatan mereka.

“Kerajaan negeri telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini. 

“Kami telah minta Tourism Perak melakukan promosi lebih agresif mengenai Pulau Pangkor dan kaedah pengangkutan terbaru ke pulau tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang meninjau kerosakan Jalan Persekutuan FT004, Lebuhraya Timur Barat Gerik – Jeli dekat sini hari ini.

Saarani berkata, masih ramai pelancong yang mengunjungi pulau itu berikutan tempahan bilik dan laluan feri juga sibuk dari kebiasaan.

“Syarikat penerbangan itu perlu lebihkan promosi bagi menarik minat  orang untuk naik kapal terbang,” katanya.

Saarani mengulas mengenai perkhidmatan penerbangan dari Subang ke Pulau Pangkor kini tidak lagi ditawarkan kepada orang ramai buat masa ini dipercayai kerana kurang mendapat sambutan.

Pemeriksaan di laman web rasmi dan Facebook syarikat SKS Airways Sdn Bhd (SKS Airways) yang menawarkan perkhidmatan itu sebelum ini, mendapati penerbangan ke Pulau Pangkor tidak lagi ditawarkan sebaliknya hanya menawarkan penerbangan ke Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Redang, Terengganu.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah Perak memandang serius tentang ketiadaan lagi penerbangan ke Pulau Pangkor dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu kerana ia baru sahaja dilancarkan pada 25 Januari pada lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN