IPOH: Suspek kes pembunuhan kejam ibu kandung yang mayatnya ditemukan dikerat 15 bahagian di Taman Kerian, Parit Buntar, dekat sini direman empat hari mulai hari ini.
Perintah reman sehingga Rabu ini dikeluarkan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu di Mahkamah Majistret Taiping.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan lanjut kes tersebut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Berdasarkan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), punca kematian mangsa berusia 68 tahun itu disebabkan luka tetak dan potong di pelbagai bahagian badan.
Badan mangsa telah dipotong hingga putus kepada 15 bahagian termasuk kepala, tangan, kaki dan organ badan yang lain.
“Mangsa juga dipercayai mati pada hari kejadian iaitu 28 Mei lalu akibat ditetak dan dipotong,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan pemberita di Jabatan Forensik HRPB mendapati waris mangsa berada di sana bagi menuntut jasad mendiang namun mereka enggan ditemu bual.
Kes pembunuhan kejam warga emas itu terbongkar selepas jiran mangsa terhidu bau busuk dari rumah dua beranak itu sebelum melaporkan perkara tersebut kepada polis, pukul 3.30 petang, semalam.
Pemeriksaan di lokasi menemukan bahagian badan manusia yang dikerat dan disimpan dalam lubang tangki kumbahan dengan ditutup papan lapis, di bahagian belakang rumah.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang menerusi laporan polis yang dibuat anak perempuannya pada 28 Mei lalu. – UTUSAN