langkah globalisasi

Sultan Nazrin: Nilai semula langkah globalisasi

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menunjukkan buku The Malays: Pathfinders and Trailblazers selepas gimik pelancaran di Dewan Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, pengarang buku, Ramli Ngah Talib (kiri). – MINGGUAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga cabaran global iaitu pandemik Co­vid-19, perang Ukraine dan krisis makanan menuntut negara menilai semula langkah globalisasi, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, pandemik telah mengurangkan hubu­ngan antara negara, syarikat dan orang ramai manakala rantai­an bekalan global goyah, pertumbuhan ekonomi global me­nguncup dan harga tenaga dan makanan melambung tinggi.

Titah baginda, justeru itu, Malaysia disaran terus berusaha mengekalkan keterbukaan bagi membolehkan negara mencapai masa depan yang lebih ge­milang untuk semua.

“Tetapi seperti yang dimaklumkan oleh buku ini kepada kita, selama berabad-abad, ta­nah kepulauan Melayu telah terbuka kepada aliran perdagangan, modal, buruh dan idea. Dan keterbukaan terhadap pe­ngaruh asing inilah yang membentuk diri kita dan membantu menjadikan kita berjaya.

“Oleh itu, Malaysia hari ini perlu mengekalkan nilai-nilai yang telah membawa kemakmuran pasca kemerdekaan kepada semua masyarakatnya, walaupun menghadapi cabaran yang kita hadapi. Kita mesti memperjuangkan dan kekal sebagai contoh kepelbagaian budaya,” titah Sultan Nazrin dalam Majlis Pelancaran Buku The Malays: Pathfinders And Trailblazers di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Buku itu adalah nukilan bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga Ahli Dewan Negara Perak dan Orang Besar Lapan bergelar Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja.

Mengulas lanjut buku tersebut, Sultan Nazrin bertitah, naskhah itu menghamparkan santapan minda mengenai perkara yang dapat membantu orang-orang Melayu melawati sejarah bangsanya.

“Jika minda dan jiwa Melayu selama ini terpengaruh dalam perangkap dan orbit pemikiran yang menjadikannya berjiwa rendah, salahnya terletak kepada bangsa sendiri yang memamah bulat-bulat juadah yang dihidangkan oleh orang lain,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, keadaan tersebut berlaku berpunca daripada sikap bangsa yang tidak memberikan perhatian berat untuk merekodkan apatah lagi menulis sejarah daripada lensa dan berdasarkan tafsiran sendiri dan banyak khazanah pengetahuan bangsa tertimbus dalam bentuk pengetahuan tersirat.

Titah Sultan Nazrin, pengetahuan yang tidak direkodkan akan lupus bersama pemilik pengetahuan tersebut, apabila meninggalkan dunia ini.

“Penulisan yang dikodifikasikan atau dijadikan codified knowledge apatah lagi jika diterbitkan, akan tersebar lebih luas dan dapat dijadikan bahan sejarah berharga dan bahan rujukan yang memberikan manfaat pada generasi terkemudian,” titah Baginda.

Justeru Sultan Nazrin bertitah, buku tulis bekas Menteri Besar Perak itu menyelitkan kebimbangannya terhadap nasib bangsa Melayu yang kini berada di persimpangan dan tidak menghargai laluan lurus tetapi diibarat merestui perbuatan menyimpang seperti perlakuan jenayah, pecah amanah dan tamak dan haloba.

“Keadaan ini pada hemat pengarang telah merobohkan teras kekuatan bangsa sehingga bangsa Melayu semakin tidak dihormati dan semakin tidak dipercayai,” titah Sultan Nazrin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN