TAMPIN: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan dekat Jalan Jelai-Rokan menghala ke Pasir Besar, Gemas, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata. kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu melibatkan kereta jenis Proton Waja dan Nissan Grand Livina.
“Tiga mangsa terlibat, dua daripadanya seorang wanita dan seorang lelaki iaitu pemandu serta penumpang Proton Waja berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia oleh pihak pasukan perubatan.
“Seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 50-an iaitu pemandu Nissan Grand Livina mengalami cedera parah dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN