SEREMBAN: Program kutipan dan sumbangan amal dalam satu acara di sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini semalam menarik perhatian orang ramai apabila ia dilakukan sekumpulan pemain kostum (cosplay) yang berpakaian watak dari filem Star Wars.
Menurut pengasas kumpulan Cosplay, Caza4U, Dicky Halimy Osman, 46, kehadirannya bersama beberapa rakan lain yang berpakaian kostum Star Wars sebagai memberikan sokongan kepada penganjur acara selain untuk mendedahkan orang ramai tentang hobi tersebut.
“Selain sebagai tarikan, saya juga berharap orang ramai bukan sahaja dapat peluang bergambar, mereka juga memahami apa itu cosplay yang sebenarnya mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia.
“Hari ini bukan sahaja bertujuan mencari dana kepada yang memerlukan tetapi dalam usaha kami juga untuk menonjolkan kepada orang ramai tentang apa yang kami lakukan ini,” katanya kepada pemberita di Seremban 2, di sini semalam.
Sementara itu, Dicky Halimy berkata, sebanyak RM5,000 berjaya dikutip pihaknya dalam masa tiga hari yang melibatkan sumbangan orang ramai termasuk beberapa pihak lain seperti golongan artis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Sumbangan wang ini adalah hasil kutipan beberapa program yang dijalankan sepanjang penganjuran acara Ikon Fest di sini selama tiga hari. Ia merupakan sumbangan daripada pihak peniaga, selebriti dan NGO yang menyertai acara ini dan berharap dana ini dapat membantu golongan memerlukan,” katanya.
Katanya lagi, sebanyak RM2,500 telah diserahkan kepada rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim dan miskin iaitu Rumah Anakku Sayang Ar-Rayyan Negeri Sembilan dan selebihnya pula akan diserahkan kepada pesakit kanser kanak-kanak yang memerlukan. – UTUSAN









