SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengulangi kenyataannya hari ini berhubung isu Stadium Shah Alam yang dibuat pada Sabtu lalu mengenai pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Bagaimanapun, beliau kenyataan menerusi media sosialnya itu tidak menafikan dakwaan stadium berkapasiti sehingga 80,300 penonton itu akan dirobohkan dan diganti dengan bangunan lebih kecil.
“Pembangunan keseluruhan Kompleks Sukan Stadium Shah Alam termasuk Stadium Melawati itu akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas,” katanya.
Terdahulu, selepas pelancaran Program Jelajah Selangor Penyayang Siri Kedua di Kuala Langat, Amirudin memaklumkan Proses baik pulih dan pembinaan KSSA akan dilaksanakan sejajar dengan projek Aliran Transit Ringan 3 (LRT3) yang dijangka siap pada 2026.
Beliau berkata, satu keputusan akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri pada bulan depan mengenai perincian pelaksanaan pembangunan di stadium tersebut termasuk Stadium Malawati yang terletak dalam kawasan sama.
Sebelum ini Utusan Malaysia mendedahkan Stadium Shah Alam yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.
Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang berkeluasan kira-kira 155,000 meter persegi. – UTUSAN