Sorok bom tangan, pistol dan peluru hidup dalam kebun durian - Utusan Malaysia

Sorok bom tangan, pistol dan peluru hidup dalam kebun durian

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain (dua dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas daripada satu kumpulan jenayah terancang dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebutir bom tangan yang masih aktif, enam pucuk senjata api dan 185 butir peluru hidup dirampas polis daripada sebuah kumpulan jenayah terancang di Pulau Pinang.

Turut ditahan ialah seramai 11 suspek anggota kumpulan itu masing-masing sembilan lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 29 hingga 61 tahun.

Kumpulan jenayah terancang itu ditumpaskan menerusi Op Cantas Tanjung III pada pukul 12 tengah hari, 24 Mei lalu yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri dengan dibantu Bahagian Jenayah Terancang (D14), JSJ Bukit Aman.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, sindiket jenayah terancang itu dilumpuhkan ekoran penahanan ketua mereka yang ditangkap bersama sejumlah dadah di Teluk Bahang dekat sini tahun lalu.

Jelasnya, sebutir bom yang dirampas itu ditemukan bersama dua pucuk pistol semi auto jenis Glock dan sepucuk pistol semi auto Beretta dengan 90 butir peluru hidup 9MM disorokkan di dalam kebun durian di Teluk Bahang menerusi operasi pada 26 Mei kira-kira pukul 1 petang.

“Kumpulan jenayah terancang ini dipercayai aktif sejak 2021 dan selain memiliki senjata api, mereka juga menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan dadah ke negara jiran yang mana kita turut merampas sebanyak 158 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM5.6 juta yang ada kaitan dengan kumpulan ini.

“Kita juga telah menghantar senjata api yang dirampas untuk pemeriksaan lanjut dan ujian balistik bagi melihat sekiranya ada kaitan dengan mana-mana kes jenayah lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 Sosma selama 28 hari mulai 24 Mei lalu hingga 21 Jun ini.

Tambahnya, selain disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971/Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960, kesemua tangkapan juga disiasat di bawah Seksyen 130 V Kanun Keseksaan kerana menganggotai sebuah kumpulan jenayah terancang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya