BUKIT MERTAJAM: Satu sindiket penipuan belian barangan dalam talian yang beroperasi dari sebuah banglo mewah tiga tingkat di Batu Feringghi dekat sini, sejak sebulan lalu ditumpaskan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi itu, seramai 23 suspek warga Taiwan berusia antara 19 tahun hingga 48 tahun ditahan.
Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk 46 unit telefon bimbit; 14 unit komputer riba; lapan unit tablet jenis Ipad; enam set walkie-talkie, 12 keping kad prabayar dan beberapa barangan lain.
“Siasatan awal mendapati suspek-suspek warga Taiwan yang ditahan itu ditawarkan bekerja di Pulau Pinang dengan gaji sebanyak RM7,000 sebulan.
“Bagaimanapun, mereka hanya menerima bayaran sebanyak RM5,000 kerana dipercayai ditipu juga oleh satu sindiket untuk datang bekerja di sini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, hari ini.
Mohd. Shuhaily berkata, antara produk yang ditipu oleh sindiket tersebut adalah beg tangan wanita, minyak wangi dan kasut.
Katanya, jumlah kerugian serta dalang sebenar sindiket itu belum dapat dikenal pasti kerana ketika serbuan dilakukan, suspek dikatakan sempat memadam sebahagian daripada bahan bukti kes berkenaan.
Namun katanya, berdasarkan soal siasat awal terhadap suspek mendapati, tidak ada rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket penipuan itu ketika ini.
“Polis juga terpaksa mengambil masa antara 10 hingga 15 minit untuk membuka pintu premis tersebut (banglo mewah) ketika serbuan dilakukan dan ini mungkin memberi masa kepada mereka untuk memadam bahan bukti berkenaan,” katanya
Mohd. Shuhaily berkata, kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun selain dikenakan sebatan.
Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah SPT yang baharu iaitu Asisten Komisioner Tan Cheng San menggantikan Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad yang bertukar ke Kuala Lumpur. – UTUSAN











