PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan pelbagai helah atau taktik ‘kreatif’ digunakan sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, orang ramai diminta sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urusan perbankan secara dalam talian.
Kata beliau, ancaman sindiket terutamanya kegiatan penipuan dalam talian semakin menimbulkan keresahan masyarakat.
“Sindiket penipuan ini suka gertak sehingga membuatkan mangsa panik, ini bukan ada bomoh atau pukau,” katanya seperti dipetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program derma darah sempena sambutan Hari Polis Ke-215 di Bukit Aman, di sini hari ini.
Jelas beliau, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sentiasa mengadakan kempen bagi mendedahkan orang ramai dengan taktik yang dilakukan sindiket ini.
Beliau berkata, ia mula menampakkan hasil apabila pihaknya melihat terdapat pengurangan kes membabitkan sindiket penipuan ini.
“Saya yakin dan percaya akan tiba masanya setiap ahli masyarakat tahu untuk menjauhkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan ini.
“Ingin diingatkan, pihak polis tidak akan meminta butiran peribadi seperti akaun bank menerusi panggilan telefon bagi tujuan siasatan sebaliknya keterangan akan diambil secara bersemuka di balai polis,” jelasnya. – UTUSAN











