PASIR GUDANG: Sindiket dipercayai baru dua bulan aktif melakukan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi tumpas dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini, malam tadi.
Pegawai Permerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Superintenden Mohd. Razali Melin berkata, dalam serbuan pada pukul 12.45 tengah malam itu, dua lelaki tempatan berusia 29 dan 31 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek ditahan itu dipercayai pemandu lori yang membawa diesel bersubsidi manakala seorang lagi merupakan penjaga premis.
Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi kira-kira dua bulan lalu dengan mengambil bekalan minyak diesel di lokasi kejadian.
“Serbuan yang dilakukan berjaya merampas 22,000 liter minyak diesel subsidi berserta empat kenderaan dan peralatan sindiket yang dianggarkan bernilai RM357,200,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Razali berkata, tangkapan dan rampasan berkenaan secara tak langsung memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah ini.
“Kedua-dua suspek bersama barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk siasatan lanjut.
“Polis juga memohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini,” katanya.
Kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – UTUSAN










