Shuttle Tebrau ke Singapura kembali disambung 19 Jun - Utusan Malaysia

Shuttle Tebrau ke Singapura kembali disambung 19 Jun

WEE Ka Siong (dua kanan) meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan RTS Link ketika melawat tapak pembinaan RTS di Bukit Cagar, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas lebih dua tahun tidak beroperasi, perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Shuttle Tebrau ke Stesen Woodland, Singapura akan kembali memulakan perjalanan pada 19 Jun ini dengan pembelian tiket bermula pukul 3 pagi, Isnin ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan itu digantung pada 24 Mac 2020 ekoran penutupan sempadan antarabangsa disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sebanyak 31 perkhidmatan beroperasi setiap hari dengan 18 perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands manakala 13 lagi perjalanan dari Woodlands ke JB Sentral. Kita jangkakan 7,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan itu setiap hari setelah ia kembali beroperasi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ka Siong berkata, perkhidmatan KTMB Shuttle Tebrau mampu menampung kapasiti seramai 320 penumpang bagi setiap perjalanan dengan kekerapan perkhidmatan tren adalah 30 minit.

Katanya, bagi minggu pertama antara 19 hingga 25 Jun, kapasiti pengguna dihadkan kepada 240 kerana terdapat penambahbaikan oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melibatkan penggunaan Digital Arrival Card dan Face Image Scanner.

“Penumpang akan menggunakan pasport sebagai tiket rasmi untuk check-in (daftar masuk) di Turnstile Stesen JB Sentral dan Stesen Woodlands sebelum menaiki tren shuttle Tebrau,” katanya.

Tambahnya, harga tiket bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands adalah RM5 seorang manakala dari Woodlands ke JB Sentral adalah S$5 (RM15.86) dengan penumpang boleh membeli tiket menggunakan sistem KITS online atau di kaunter.

Terdahulu, ketika melawat tapak pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, Ka Siong berkata, kementerian sedang memperinci untuk menambah laluan keluar masuk ke stesen bagi mengelak kesesakan trafik luar biasa.

Kata beliau, penyediaan jalan tambahan itu melibatkan jalan dari Pandan, Jalan Lingkaran Dalam dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) berbanding hanya satu laluan disediakan mengikut perancangan asal melibatkan Jalan Tebrau.

“Kita akan tambah tiga laluan keluar masuk ke stesen di Bukit Chagar yang boleh menampung sehingga 10,000 pengguna dalam tempoh satu jam dan penyediaan pelan itu akan mula dilakukan ketika projek pembinaan RTS memasuki fasa akhir sebelum beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027,” katanya yang turut berpuas hati dengan status perkembangan kerja menjangkaui 17 peratus ketika ini.

Katanya, dari segi teknikal, tiada isu dialami kecuali pengalih laluan paip 900 milimeter (mm) dan 1,600mm milik Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura yang juga telah selesai daripada segi persetujuan dasar membabitkan republik itu sebelum dibentangkan di Kabinet dalam masa terdekat.

“Kementerian akan meminta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) memantau prestasi pihak kontraktor untuk percepatkan pembinaan projek tersebut mengikut jadual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN