GAZIANTEP, TURKIYE: Serangan bom ketika cuba lari menyelamatkan diri di Aleppo, Syria pada 2014 cukup memberikan kesan mendalam buat Maryam Mohammad Ali Umar, 21, dan adiknya, Majeda, 15.
Ketika itu Maryam berusia 13 tahun manakala Majeda pula, 7 tahun.
“Perang memusnahkan kebahagiaan keluarga dan zaman kanak-kanak saya. Ia cukup teruk dan menderitakan. Perang ini patut dihentikan,” demikian tegas Majeda yang kudung kaki kanannya, begitu juga dengan Maryam, dalam serangan bom itu, ketika ditemui di Karshiyaka dekat sini semalam.
Kaki Maryam terpaksa dipotong di hospital kerana kecederaan teruk, adiknya pula hilang kaki kanan serta-merta.
Mereka bersama ibunya, Zaleha Abdul Khader, 46, berkongsi ‘rasa dendam’ yang cukup kuat terhadap apa yang dilalui mereka ketika pertemuan bersama Ketua Misi Kemanusiaan MyCare-Econsave yang juga Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar; Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Wanita Syria (SWA), Lubaba Tayfour.
Bagi Maryam yang akan melanjutkan pengajian ke universiti di sini tidak lama lagi, apa yang dilaluinya sekeluarga cukup pedih dan sukar untuk dilupakan.
Biarpun masih kecil ketika serangan itu berlaku, ia masih berbekas sehingga kini.
Ketika ditanya bagaimana semangatnya kuat untuk melalui segala penderitaan termasuk perjalanannya sekeluarga menyelamatkan diri memasuki Turkiye, jelas Maryam: “Sokongan keluarga, rakan-rakan, buatkan saya dan adik kuat”.
Tegas Maryam, semangatnya juga menjadi kuat apabila melihat pelarian Syria lain yang mengalami nasib sama namun cekal hadapi dugaan cukup berat ini.
Terdahulu Maryam dan Majeda mengharapkan bantuan untuk menerima kaki palsu baharu kerana kaki palsu sedia ada sudah tidak lagi sesuai digunakan.
Perkara itu akan diusahakan Rose2Rose (R2R), sebuah agensi di bawah MyCare. MyCare juga membelikan sebuah komputer untuk kegunaan pelajaran Maryam dan adik-beradik lain.
“Jika perang sudah tamat dan Syria kembali damai, saya mahu pulang ke sana.” Demikian jelas Majeda yang kesal dengan serangan di Syria yang memberikan memori buruk kepada kehidupannya. – UTUSAN










