PETALING JAYA: Skim pencen bagi pesara tentera perlu diselaraskan semula bagi mengurangkan jurang bayaran antara bekas tentera yang sudah lama menamatkan perkhidmatan dengan yang baru bersara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkata, anggota tentera yang baru bersara menerima bayaran wang pencen jauh lebih tinggi berbanding mereka yang bersara lebih 15 tahun lalu.
Beliau berkata, ketika di bawah pentadbirannya, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah menjalankan kajian berkaitan jurang pencen pesara tentera sebelum dan selepas 2004 sebelum hasil kajian dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan seterusnya.
“Saya bersimpati dengan veteran tentera dan isu jurang pencen sememangnya perlu diteliti. Pihak Perbendaharaan dan Kementerian Pertahanan perlu mendedahkan jurang bayaran pencen itu dan kos keseluruhannya, sama ada jurang itu boleh dikurangkan.
“Kalau pesara tidak berpencen dan diberhentikan, untuk yang sudah berusia, kerajaan perlu memberi keutamaan dari segi perubatan. Namun apa yang paling penting adalah memberikan mereka pekerjaan dengan gaji yang sewajarnya,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas mengenai himpunan aman yang dihadiri kira-kira 1,000 veteran tentera di hadapan Tugu Negara Ahad lalu.
Mereka mengemukakan tiga tuntutan iaitu penyelerasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen dan memberi pengampunan kepada veteran ATM supaya mereka dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.

Chin Tong berkata, isu veteran tentera boleh ditangani dengan kerajaan menyediakan kerjaya yang mampu menawarkan gaji menarik.
“Kita perlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam membantu veteran mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang bagus. Contohnya, Kementerian Dalam Negeri boleh memastikan industri keselamatan menawarkan pekerjaan kepada veteran tentera yang mempunyai kemahiran dengan bayaran gaji tertentu.
“Kementerian Pertahanan juga mesti memastikan pihak berkuasa tempatan mengiktiraf kemahiran dan sijil yang diperoleh pesara tentera ketika berkhidmat. Setelah diiktiraf, tentera akan bersara daripada perkhidmatan sebagai individu berkemahiran, bukannya perlu bermula dari bawah semula,” katanya. – UTUSAN