SHAH ALAM-Isu makanan halal terutama melibatkan penyembelihan daging lembu di luar negara yang panas kebelakangan ini, menyebabkan kerajaan negeri terpanggil menganjurkan kursus makanan halal.
Menurut kenyataan pejabat Exco Agama Islam, Pengguna & Industri Halal Selangor, Kursus Penyediaan Makanan Halal oleh Yayasan Al-Moqni Malaysia dilaksanakan melalui konsep ‘Selangor cakna pengurusan dan pengendalian halalan toiyyiban’.
“Matlamat utama program ini dilaksanakan adalah demi memberi pendedahan dan bimbingan pendidikan kepada seluruh perniga dan rakyat negeri Selangor dalam soal kepentingan penyediaan makanan halal di samping memperkasakan penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai pengurusan Halal dan Haram dalam Islam.
“Selain itu, program berteraskan ‘Utamakan Halal’ ini juga dilaksanakan dengan serba konduktif dan mampu memangkin peningkatan pemahaman mengenai industri halal khususnya di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas kenyataan itu, setakat hari ini, sebanyak tujuh daripada 10 program telah berlangsung di tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam negeri ini.
Katanya lagi, antara DUN terlibat adalah Sg. Kandis Pandan Indah, Meru, Morib, Pelabuhan Klang, Taman Medan dan Sg. Tua.
“Manakala tiga DUN yang bakal berlangsung ialah Bukit Melawati pada 18 Jun, Taman Templer pada 19 Jun dan Dun Kajang.
“Jumlah peserta setakat ini sekitar 200 dan dijangka mencecah 300 peserta setelah tamat 10 program,” katanya. – UTUSAN










