SHAH ALAM: Kerajaan Selangor optimis terhadap penurunan kadar realistik pengangguran negeri kekal berada di bawah empat peratus tahun ini, walaupun terdapat peningkatan 2.9 peratus atau 105,300 orang pada suku keempat tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Insan negeri, Mohd. Khairuddin Othman berkata, sasaran itu ditetapkan berikutan sebanyak 3.2 peratus atau 118,100 penganggur direkodkan pada suku pertama tahun ini.
“Namun, kita melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menyediakan peluang pekerjaan dan dilihat mendapat sambutan memberangsangkan setakat ini.
“Justeru, kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran penurunan kadar pengangguran sehingga 2.6 peratus atau kekal bawah empat peratus tahun ini,” katanya selepas meninjau program Selangor Mega Job Fair di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Jelas Mohd. Khairuddin, pihaknya turut yakin kadar pengangguran negeri masih terkawal dengan kerjasama pelbagai agensi dan pemain industri.
Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan menerusi penganjuran Selangor Mega Job Fair.
“Program secara fizikal selepas memasuki fasa endemik itu melibatkan 100 majikan bersama 10 agensi kerajaan dan badan beruniform. Jika 30 peratus tawaran pekerjaan itu dapat diisi, ia sekali gus membantu kita mencapai sasaran penurunan pengangguran pada kadar realistik.
“Kerajaan negeri turut bercadang melaksanakan program khas seumpama itu yang hanya melibatkan industri perhotelan berikutan industri itu kini kembali rancak dan membuka kira-kira 6,000 peluang pekerjaan di seluruh hotel di Selangor,” jelasnya.
Tambahnya lagi, perbincangan akan dibuat dengan exco berkaitan sebelum dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini. – UTUSAN










