Segerakan Akta Pendanaan Politik – Mohamad - Utusan Malaysia

Segerakan Akta Pendanaan Politik – Mohamad

Mohamad Sabi semasa berucap pada Majlis Pe­nyampaian Kelulusan Naik Taraf Masjid, Surau dan Maahad tahfiz Parlimen Temerloh berjumlah RM928,000 di Hotel Seri Malaysia di Temerloh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Parti Amanah Negara (Amanah) mendesak kerajaan menyatakan status terkini berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang dilihat penting menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, Amanah menyokong penuh Akta Pendanaan Politik dan setakat ini tiada sebarang maklumat diberikan sedangkan ia penting kepada semua parti politik yang berhasrat bertan­ding PRU15.

“Akta Pendanaan Politik penting buat semua parti politik kerana sumbangan dana untuk politik daripada penyumbang dikira ‘legal’ untuk aktiviti politik negara.

‘’Oleh itu, satu jawatankuasa peringkat Parlimen perlu dibentuk bagi membolehkan draf Akta Pendanaan Politik segera dibentangkan di Dewan Rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Pe­nyampaian Kelulusan Naik Taraf Masjid, Surau dan Maahad tahfiz Parlimen Temerloh berjumlah RM928,000 di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.

Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan bahawa, UMNO mengulangi gesaan supaya Akta Pendanaan Politik disegerakan pembentangannya di Dewan Rakyat bagi melindungi pe­nerima dan pemberi sumba­ngan kepada parti-parti politik di negara ini.

Perhatian

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sudah sampai masanya perkara tersebut diberikan perhatian sejajar dengan kematangan berpolitik seperti yang dilaungkan oleh pelbagai pihak.

Kata Ahmad lagi, di negara-negara maju, akta tersebut telah lama diamalkan dan adalah satu pembohongan jika tiada parti politik di negara ini tidak menerima dana politik daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, beliau melihat Akta Pendanaan Politik bakal memberi ‘kekuatan’ baharu kepada mana-mana parti politik kerana tidak perlu bimbang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana bukan lagi berbentuk rasuah.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, draf akta tersebut sudah lengkap sejak 2017 dan perlu segera dibentang supaya individu atau mana-mana pihak penyumbang dan penerima dana politik dilindungi di bawah undang-undang.

Beliau dalam pada itu berkata, ketika ini keutamaan Dewan Rakyat adalah mengkaji dan mendapatkan kelulusan RUU Anti Lompat Parti sebelum PRU15.

Tegasnya, Amanah menyo­kong penuh RUU Anti Lompat Parti supaya wujud semangat perjuangan dan kesetiaan wakil rakyat pada parti yang diwaki­linya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN