PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia menarik semula cadangan pemansuhan hukuman mati secara mandatori jika majoriti rakyat negara ini berpendapat langkah tersebut tidak patut diteruskan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersikap terbuka menerima bantahan rakyat.
“Kita akan cuba buat pungutan suara dalam masa terdekat dan sekiranya rakyat tolak, saya akan bawa balik dalam mesyuarat Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengumumkan pihaknya dijangka membawa pindaan yang meliputi 11 kesalahan untuk pemansuhan hukuman mati mandatori kepada Parlimen pada Oktober ini, membabitkan sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan bakinya di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dengan bakal digantikan mengikut budi bicara oleh hakim.
Langkah itu susulan keputusan Kabinet pada 8 Jun lalu setelah menilai isu sama melibatkan pindaan hukuman mati untuk pesalah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2017.
Selain itu, Jawatankuasa Khas yang dibentuk turut meneliti hukuman gantian terhadap 22 kesalahan lain membabitkan tujuh akta berbeza dan bakal dibawa ke Parlimen untuk pindaan.
Ini termasuk Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Penculikan 1961.
Wan Junaidi berkata, sekiranya diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada akhir tahun ini, pelaksanaan hukuman gantian boleh dibuat awal Januari depan.
“Bagaimanapun, sebelum dibawa ke Parlimen, kita akan buat banyak sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pungutan suara bagi melihat respons rakyat,” jelasnya.
Justeru, beliau tidak menolak kebarangkalian situasi berlawanan kerana kaedah bancian yang juga melibatkan wadah media sosial itu mungkin berbeza daripada apa dihasratkan kerajaan.
Namun, beliau dalam nada optimis melahirkan keyakinan bahawa keadaan itu tidak berlaku dengan mengambil kira senario banyak negara memansuhkan hukuman mati.
Setakat ini, ujarnya, sejumlah 144 negara telah menghapuskan hukuman tersebut manakala 55 negara pula masih mengekalkannya terutama untuk jenayah narkotik dan pembunuhan.
Wan Junaidi secara peribadi ketika ditanya berkata, beliau antara individu yang lantang menentang pelaksanaan hukuman mati kerana menyifatkan ia sebagai tidak berperikemanusiaan.
“Saya pernah menulis tesis mengenai isu ketika memasuki universiti pada 1978 dan menegaskan Malaysia tidak wajar ada hukuman itu apatah lagi dibuat secara mandatori,” katanya.
Beliau turut merujuk kajian bebas pelbagai pakar jenayah di luar negara termasuk di Amerika Syarikat yang mendapati lebih 30 peratus banduan hukuman itu sebenarnya tidak bersalah.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, demi keadilan pesalah terbabit seharusnya dihukum penjara seumur hidup kecuali jenayah bunuh kejam dan kes melangkau keraguan munasabah.
Sebaliknya bagi kesalahan lain pula, ujarnya, ‘tangan’ hakim seperti terikat jika hukuman cuma ada mati mandatori sedangkan pesalah itu mungkin mangsa eksploitasi oleh pihak tertentu. – UTUSAN










