Sayu tinggalkan Madinah, jemaah bergerak ke Mekah - Utusan Malaysia

Sayu tinggalkan Madinah, jemaah bergerak ke Mekah

JEMAAH berpusu-pusu mendapatkan tempat untuk menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi sebelum bergerak ke Mekah. - IHSAN NADIAH NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perasaan bercampur baur menyelubungi jemaah haji Malaysia yang mula bergerak ke Tanah Suci Mekah dan meninggalkan bumi Madinah sekitar pukul 1 petang waktu Madinah, semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang jemaah, Haniza Zainuddin, 42, dari Bukit Jalil, Selangor berkata, dia berasa sayu meninggalkan bumi Madinah yang penuh dengan sejarah dan kenangan namun pada masa sama teruja ke Mekah bagi menyempurnakan ibadah haji.

“Bergerak ke Mekah bermakna ibadah haji semakin dekat. Hari ini kami akan melaksanakan ibadah umrah setelah Miqat di Bir Ali sebentar, dalam perjalanan ke Mekah.

“Tapi dalam masa yang sama, hati sedih dan sayu nak meninggalkan bumi Madinah, bumi Rasulullah dan para syuhada. Semoga diberi kesempatan menziarahi lagi pada masa akan datang,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp, semalam.

Haniza yang merupakan pengurus kanan syarikat swasta berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal ekoran gambaran semasa keadaan di Mekah yang dibanjiri ‘lautan manusia’ masyarakat Islam dari segenap benua.

“Persiapan yang sederhana sama seperti jemaah lain. Sentiasa mendidik hati untuk menjadi sabar dalam mengerjakan ibadah dan jangan mementingkan diri sehingga mengganggu ibadah orang lain.

“Seperti yang dimaklumkan Lembaga Tabung Haji, pemakaian pelitup muka adalah wajib. Jadi saya rasa jemaah Malaysia tidak ada masalah untuk sentiasa berada dalam prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. Insya-Allah,” katanya.

Bumi Mekah dilapor mula dikunjungi jemaah Malaysia secara berperingkat bermula pukul 8 malam waktu Arab Saudi, kelmarin.

Kumpulan pertama dijangka melibatkan kira-kira 295 jemaah haji yang bertolak dari Madinah menerusi tujuh buah bas, sebelum dibawa ke bangunan Abraj Al-Janadriyyah.

Mereka adalah rombongan haji yang pertama pada 4 Jun lalu dan menerima sambutan daripada pihak pengurusan, sebelum jemaah haji mengerjakan umrah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN