Save Kelantan tuntut tindakan tegas curi balak - Utusan Malaysia

Save Kelantan tuntut tindakan tegas curi balak

HUSAM Musa (tiga dari kiri) meninjau lokasi yang menempatkan kayu balak di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pertubuhan Save Kelantan menuntut kerajaan negeri mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam pihak dan syarikat yang didakwa terlibat dalam kegiatan curi kayu balak bernilai kira-kira RM5 juta dari kompartment 25, Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri di sini.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan Save Kelantan berhubung kecurian balak di HSK Nenggiri sebelum ini ternyata benar apabila pihaknya telah turun untuk meninjau lokasi di Kuala Betis.

Menurutnya, hasil tinjauan hari ini mendapati terdapat kira-kira 43 longgokan balak yang terletak di sebelah kawasan pengumpulan balak itu telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

“Hari ini kita melihat jumlah balak ini besar dan agak banyak. Mungkin kalau campur di dalam semua sekali adalah nilai RM8 juta tetapi nampaknya kerajaan negeri ini macam tak endahlah walaupun balak ini begitu mahal.

“Jabatan Hutan masih lagi dalam proses siasatan dan apa yang penting ialah kerajaan negeri selain daripada mengakui adanya kejadian kecurian mereka perlu mencari siapa pencuri yang sebenar,” katanya di sini hari ini.

Husam memberitahu, sehingga hari ini kerajaan negeri tidak membuat penjelasan lanjut dan dilihat seolah-olah enggan mengambil maklum tanggungjawab berkaitan kejadian curi balak.

Katanya, selaku rakyat Kelantan beliau kesal jika aktiviti ini tidak dikawal berkemungkinan besar kawasan hutan yang menempatkan Hutan Simpan Dara (VJR) akan dicerobohi.

“Tetapi tujuan utama kita datang hari ini untuk membuktikan adanya kecurian balak yang terlibat dengan penempatan itu seperti pihak media telah lihat,” jelasnya.

Tambah Husam, pihaknya juga berharap rakyat atau mana-mana pihak dapat tampil memberi maklumat tentang kecurian hutan di kawasan seluruh negeri kelantan.

Katanya, Save Kelantan akan memberi saguhati kepada orang yang memberi maklumat tentang masalah pencerobohan hutan dan hidupan liar yang terganggu.

“Save kelantan bukan gerakan politik tetapi hanya ingin menyelamatkan kegagalan dan masalah yang dihadapi rakyat jelata.

“Identiti pelapor kita akan rahsiakan dan jika begini mungkin pencuri akan takut. Jika tidak mungkin tempat lain akan berlaku kecurian yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya