Satelit kelapan negara dilancar ke orbit dari Kourou  - Utusan Malaysia

Satelit kelapan negara dilancar ke orbit dari Kourou 

SATELIT kelapan negara dilancar ke orbit dari Kourou, menggunakan roket Ariane-5 ECA dan berjaya melalui proses pemisahan pada pukul 6.19 pagi tadi. - TWITTER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satelit kelapan negara, MEASAT-3d dilancarkan ke orbit dari Pusat Angkasa Lepas Eropah, Kourou, French Guiana, pukul 6.50 petang waktu tempatan (pukul 5.50 pagi tadi waktu Malaysia).

Walaupun tidak berada di sana, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melepaskan peluang bagi menyaksikan pelancaran itu secara langsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini melalui skrin gergasi.

Beliau menyaksikan pelancaran itu bersama kira-kira 600 tetamu yang terdiri daripada kalangan jemaah menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penjawat awam, petugas media dan pelajar yang memenuhi ruang Dewan Merdeka.

Satelit MEASAT-3d seberat 5,600 kilogram dibawa ke orbit menggunakan roket Ariane-5 ECA dan berjaya melalui proses pemisahan pada pukul 6.19 pagi tadi.

Satelit yang melibatkan anggaran kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat negara ini selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Satelit yang berukuran 31 meter (m) x 9m x 5m seberat 5,600 kilogram itu dilancarkan bertujuan meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau serta beberapa perkhidmatan baharu dan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos ini.

Satelit itu antara lain adalah jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO yang dibina oleh Airbus Defence and Space mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutama di kawasan pedalaman.

Yang turut hadir dalam pelancaran itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.