Saman fitnah Anwar Ibrahim: Mahkamah batalkan permohonan KJ - Utusan Malaysia

Saman fitnah Anwar Ibrahim: Mahkamah batalkan permohonan KJ

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membatalkan dua permohonan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kes saman fitnah yang mengaitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kegiatan tidak bermoral.

Ia melibatkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes saman fitnah tersebut dan kebenaran merayu membabitkan permohonannya meminda pernyataan pembelaan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Nallini Pathmanaban dan bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan demikian selepas peguam, Sarah Abishegam memaklumkan mahkamah bahawa Ahli Parlimen Rembau itu ingin menarik balik notis rayuannya.

Khairy memfailkan notis rayuan itu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan Ahli Parlimen Rembau itu telah memfitnah Anwar dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada 2008.

Terdahulu, Sarah memberitahu mahkamah pihaknya telah menulis surat kepada peguam Anwar pada 28 April lalu memaklumkan bahawa Khairy tidak lagi ingin meneruskan rayuan tersebut.

“Isu di sini ialah permohonan pihak responden (Anwar) yang memohon kos sebanyak RM5,000 bagi setiap permohonan. Kami mencadangkan kos sebanyak RM1,000 bagi setiap permohonan,” kata Sarah.

Peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar bagaimanapun menyatakan bahawa kos RM5,000 bagi setiap permohonan adalah berpatutan.

Selepas membatalkan kedua-dua permohonan Khairy, panel terbabit menetapkan kos sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua permohonan.

Pada 29 September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Khairy memfitnah Anwar dan menolak permohonannya untuk mengubah pernyataan pembelaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengarahkan Khairy membayar ganti rugi RM150,000 kepada Anwar kerana memfitnahnya berhubung perlakuan tidak bermoral dalam ceramah yang dibuat di Lembah Pantai sebelum PRU-12.

Anwar menyaman Khairy yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac 2008 mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah itu dan menyebabkan satu klip video disiarkan di portal berita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya