rumah pam

RTB Taman Iping mampu selamatkan 2,000 penduduk daripada risiko banjir

CHOW KON YEOW (tengah) merasmikan rumah pam untuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Iping di Batu Maung, Pulau Pinang yang telah siap sepenuhnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Iping di Batu Maung, di sini yang telah siap sepenuhnya dijangka mampu menyelamatkan sehingga 2,000 penduduk yang berada di kawasan Lembangan Sungai Nipah daripada bencana banjir.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, RTB itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengurangkan risiko banjir di  Lembangan Sungai Nipah, di sini.

”RTB ini mempunyai dua buah rumah pam dengan kapasiti masing-masing enam dan tujuh meter padu sesaat.

”Projek bernilai RM16.5 juta itu direka bentuk pada tahap perlindungan 20 kala purata ulangan (ARI) dapat mengurangkan risiko banjir kepada penduduk setempat, kawasan komersial dan kawasan industri,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Pam Taman Iping, di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, walaupun kerja-kerja pembinaan projek itu terganggu akibat pandemik Covid-19, namun pencapaian pada hari ini harus dilihat dari segi ruang lingkup yang luas. 

”Kawasan Lembangan Sungai Nipah ini berkeluasan 3.2 kilometer persegi dan dengan siapnya RTB Taman Iping ini diharapkan dapat mengelakkan penduduk di sekitar Lembangan Sungai Nipah daripada risiko banjir.

“Kerajaan negeri gembira dengan kemajuan yang dicapai hasil komitmen semua pihak yang bertungkus-lumus dalam memastikan projek tebatan banjir berimpak tinggi ini berjaya direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, kerajaan negeri melalui agensi pelaksana, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah menyiapkan empat buah projek daripada keseluruhan lapan projek.

“Empat projek yang telah siap ini adalah RTB Parit 4, RTB Parit 5, RTB Mak Mandin dan terkini RTB Taman Iping.

”Empat buah projek kini di peringkat fasa kemajuan yang positif iaitu RTB Bayan Baru yang dijangka siap dalam masa terdekat, dua projek lagi masih dalam fasa pembinaan iaitu Kolam Takungan Alma dan RTB Sungai Tiram di Kampung Naran dan RTB Permatang Rawa sedang dalam proses reka bentuk semula,” katanya.

Tambahnya, selain daripada projek-projek itu, terdapat dua buah projek iaitu Projek Tebatan Banjir Van Praagh dan Projek Tebatan Banjir Parit Monsun di Kampung Pokok Assam di Timur Laut telah bermula pada 1 Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya