SHAH ALAM: Pembinaan stadium bersaiz sederhana bagi memuatkan 40,000 hingga 50,000 penonton dilihat lebih praktikal bagi menggantikan Stadium Shah Alam yang kini berkapasiti 80,300 orang pada satu-satu masa.
Stadium baharu menggantikan kompleks sukan ikonik itu juga sebagai langkah penjimatan jangka panjang berbanding berterusan perlu menyelenggara fasiliti sedia ada yang masalahnya berulang.
Ini kerana, stadium berusia hampir 30 tahun itu didakwa memerlukan ratusan juta ringgit bagi membaiki kerosakan bumbung dan padang yang ditenggelami banjir pada Disember tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi bersetuju, pembinaan stadium bersaiz sederhana adalah lebih praktikal kerana kehadiran penonton sebelum ditutup tidak mencapai kapasiti maksimum.
Kebolehlaksanaan
“Hendak kata penuh pun tak juga, mungkin mereka melihat dari aspek itu dan faktor perkembangan semasa serta kebolehlaksanaan. Adakah kita mengekalkan stadium dalam kapasiti besar ataupun lebih praktikal untuk buat stadium yang lebih sederhana.
“Cadangan-cadangan tersebut memang ada, cuma keputusannya akan diumum kerajaan negeri. Jadi saya rasa bila hendak bangunkan atau selenggara kena ambil faktor itu sebab kalau stadium besar, tetapi bila ada perlawanan sambutannya tidak seperti diharapkan, maknanya tak capai sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pembinaan stadium sederhana perlu mengambil contoh seperti di United Kingdom apabila stadium rasmi bagi kelab bola sepak Liverpool di Anfield yang hanya boleh memuatkan 53,000 penonton dan Stadium Sultan Ibrahim di Johor dengan kapasiti 40,000 penonton.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melaporkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan menjalani proses pembangunan semula secara menyeluruh dan satu jawatankuasa khas dipilih membuat penilaian keseluruhan pembinaan kompleks dan baik pulih stadium berkenaan yang dijangka menelan belanja ratusan juta ringgit.
Dalam pada itu, Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman pula memaklumkan, kerja-kerja menaik taraf atau baik pulih Stadium Shah Alam akan dilakukan dalam masa terdekat oleh Unit Projek Khas (UPK).
“Jadi saya harap, semua pihak bersabar berhubung bila kerja naik taraf Stadium Shah Alam akan siap. Kerajaan negeri ambil serius berhubung isu ini dan sedang bekerja keras nak cantikkan semula Stadium Shah Alam,” ujarnya.
Beliau pada masa sama menyelar bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengabaikan stadium tersebut sehinga ia kini kelihatan usang dan rosak.
Ada ‘udang di sebalik batu’
Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, langkah meroboh stadium ikonik dan membina stadium baharu seperti ‘ada udang di sebalik batu’.
Menurut beliau, ini kerana, kerajaan negeri perlu berbelanja lebih daripada RM350 juta berdasarkan taksiran Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pembinaan stadium baharu.
Malah, jika projek tersebut dibiayai secara bersama melalui kerjasama awam-swasta, pemaju swasta pasti mengharapkan pembinaan-pembinaan bersifat komersial untuk mengaut keuntungan menerusi projek pembangunan tersebut.
Rizam berkata, kerajaan negeri perlu mendedahkan kepada umum mengenai perancangan sebenar untuk stadium berkenaan dan berhenti memberi alasan daripada meneruskan pembinaan stadium baharu yang membazir.
“Bila jadi kerajaan itu sudah jadi tanggungjawab. Bila ada kos, perlu dibentang dan dilaksanakan. Mereka bukan tahun pertama jadi kerajaan (negeri), kalau baru penggal pertama, mungkin dia kata ini semua kerana itu dan ini, perlu masa dan beri ruang.
“Yang ada sepatutnya dibaiki, sebab stadium ini ada sejarahnya, jagalah, elokanlah. Kalau dari dahulu dijaga, tak adalah seteruk sekarang ini. Makin dibiar dan dibiar,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan stadium lebih kecil berbanding sekarang semata-mata untuk mencapai maksud ‘praktikal’ disifatkan tindakan yang gagal.
Roboh stadium kerana orang gagal
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar itu lagi, dakwaan Stadium Shah Alam dengan kapasiti sehingga 80,300 penonton itu tidak praktikal adalah kata-kata orang yang gagal menjaga dan menyelenggara stadium itu.
“Mereka tak boleh mengurus. Dahulu ada bangunan Perangsang, dijual. Ada beberapa aset lain pun dijual. Kalau setakat main jual, semua orang boleh jadi kerajaan. Apa yang dia tahu, roboh, jual.
“Sekarang Stadium Shah Alam nanti tak tahu jadi apa. Dia kata sudah rosak, struktur sudah rosak, itu tak boleh ini tak boleh, kena buat baru. Harap-harap jangan jadilah macam itu.
“Yang ada ini pun kita bina, dia cuma perlu jaga sahaja. Kalau tak boleh, pulangkan semula kepada kita,” selarnya.
Pendapatan RM5 juta tak berbaloi
Dalam pada itu, ada dakwaan cadangan merobohkan stadium tersebut kerana pendapatan sekitar RM5 juta setahun pada 2015 hingga 2017 didakwa tidak berbaloi bagi fasiliti sebesar itu.
Pendapatan itu merangkumi hasil perkhidmatan sewa yang ditawarkan seperti stadium utama yang meraih pendapatan dalam tempoh tersebut antara RM1.99 juta hingga RM2.42 juta dan Stadium Malawati (RM1.04 juta – RM1.2 juta).
Selain itu, KSSA turut memungut hasil perkhidmatan sewa tapak letak kereta yang meraih RM971,500 hingga RM1.09 juta dalam tempoh sama dan Pusat Akuatik (RM911,200 – RM1.07).
Kemudahan sewa Extreme Park pula sekitar RM92,000 setahun dan hasil daripada sewaan tempat letak kereta antara RM971,500 hingga RM1.093 juta.
Bekas Pengurus KSSA, Hussain Anjang Pulau berkata, ketika siap dibina stadium berkenaan menjadi kebanggaan Selangor dan negara kerana dianggap terbesar di Asia Tenggara ketika itu.
“Stadium itu memang besar dan kompleks sukan itu jika dikira keluasannya termasuk di kawasan komersial seperti Pasar Raya Giant boleh mencapai sehingga 500 hektar. Tetapi masalahnya pendapatannya tidak memadai saiz.
“Pendapatan diperoleh hanya bergantung kepada anjuran acara-acara yang bergantung kepada kutipan sewa daripada penganjur. Fasilitinya begitu besar dan pasti memerlukan belanja yang besar,” katanya.
Menurut beliau, pengurusan stadium berkenaan kemudian diserah kepada swasta melalui syarikat lain selepas beliau bersara pada 2004, namun masih tidak mendatangkan pendapatan berbaloi bagi KSSA yang mempunyai pelbagai fasiliti termasuk Stadium Mini.
Kecewa, sedih
Bagaimanapun, Hussain memaklumkan, beliau sedih sekiranya benar stadium berkenaan akan diroboh dan digantikan dengan stadium lebih kecil.
Ini kerana, sebelum dilantik sebagai pengurus, beliau dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Kewangan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 1992 untuk menguruskan hal ehwal perbelanjaan pembinaan bangunan ikonik itu.
“Saya bertukar daripada menjadi Pegawai Daerah Kuala Langat, kemudian diarahkan bertugas di SUK. Di situlah saya melihat dengan mata kepala sendiri sebidang tanah lapang yang diserahkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk dibina Stadium Shah Alam.
“Tetapi selepas hampir 30 tahun hendak dibina baharu, kecewa memang kecewa, tetapi terpulanglah kepada pemimpin sekarang kalau itulah kebijaksanaannya. Saya tiada kepentingan, tetapi apa akan berlaku esok pada anak dan cucu kita,” kata beliau yang menguruskan stadium berkenaan melalui Syarikat Stadium Shah Alam Sdn. Bhd. sejak 1994 hingga 2004.- UTUSAN











