Remaja lelaki hilang di Puchong, ditemukan selamat di Ampang - Utusan Malaysia

Remaja lelaki hilang di Puchong, ditemukan selamat di Ampang

ALI Imran ditemukan di Jalan Seraya, Kampung Melayu Ampang, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Ali kini sihat, biarpun agak keletihan,” kata Wan Esuriyanti Wan Ahmad, ibu kepada Ali Imran Naseruddin, 16.

Ali Imran yang sebelum ini hilang selepas keluar dari kediaman keluarganya sejak awal pagi Khamis lalu akhirnya ditemukan dengan selamat awal pagi tadi.

Remaja itu ditemukan oleh pasukan peronda polis (MPV) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pukul 3.05 pagi tadi di Jalan Seraya, Kampung Melayu Ampang, Kuala Lumpur.

Wan Esuriyanti menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, beliau sekeluarga syukur kerana dipertemukan semula dengan Ali Imran.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan kami, kesyukuran dan nikmat yang telah dianugerahkan. Terima kasih tidak terhingga kepada keluarga dan rakan yang berterusan membantu dan menyokong untuk membawa Ali pulang.

“Terima kasih juga kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Nur Arfidah Mohamed dan pasukan di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sepang atas segala usaha menjejaki anak saya,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar tiada ibu bapa yang perlu mengharungi keadaan seperti yang berlaku ke atas anaknya itu.

Jelasnya, dia juga berharap agar tiada tanggapan buruk dibuat ke atas anaknya itu kerana bukan semua yang dapat memahami tentang apa yang berlaku ke atas keluarganya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan mangsa berada dalam keadaan selamat dan baik.

Sebelum ini, Ali Imran disahkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Bandar Bukit Puchong 2 Puchong, awal pagi Khamis lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN