Rebut Geran Kandungan Digital 2022 bernilai RM50,000

Rebut Geran Kandungan Digital 2022 bernilai RM50,000

MDEC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) membuka permohonan bagi Geran Kandungan Digital 2022 bermula semalam hingga 29 Julai depan. 

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa meminta penggiat industri kreatif tempatan supaya merebut peluang mendapatkan geran itu yang menawarkan sehingga RM50,000. 

Beliau berkata, mereka yang berminat boleh melayari https://mdec.my/dcgprisma2022 untuk maklumat lanjut untuk proses pendaftaran

“Geran yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu bertujuan menggalakkan kesinambungan serta kemapanan pengamal industri kreatif tempatan selaras dengan norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

“Saya melihat Geran Kandungan Digital 2022 ini penting dalam membantu pencipta kandungan digital merealisasikan idea mereka ke dalam bentuk produk sedia untuk dipasarkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. 

Katanya, MDEC bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan, malah membantu mereka dalam penghasilan kandungan digital yang boleh dipasarkan. 

Annuar berkata, geran itu ditawarkan kepada syarikat, perusahaan dan syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP) untuk membangunkan kandungan animasi, komik digital, media interaktif dan permainan digital.

Menurutnya, pemohon terpilih akan dijemput ke sesi pembentangan yang dijadualkan pada Ogos ini, sebelum kelulusan diumumkan menjelang September depan. 

“Selepas mendapat kelulusan, penerima geran akan diberi tempoh selama enam bulan bagi menyiapkan kandungan digital seperti filem animasi pendek, permainan digital atau komik digital,” katanya. 

Katanya, tahun lalu, MDEC menerima  111 permohonan bagi geran berkenaan dan sejumlah RM1.9 juta geran diluluskan yang memberi manfaat kepada 39 pemohon. 

  Sejak tahun 2016, MDEC meluluskan 94 projek bernilai RM36.4 juta kepada syarikat kandungan kreatif digital bagi membiayai idea mereka di peringkat pembangunan dan memastikan ia mesra pelabur.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN